SHAH ALAM – Selepas diasak dengan soalan yang dibangkitkan oleh rakyat ketika bantahan pelaksanaan GST di Kelana Jaya 23 Mac lalu, Kementerian Kewangan akhirnya menambah senarai produk yang dikecualikan GST, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, rakyat mengalu-alukan keputusan kerajaan yang memperluaskan GST pada kadar sifar yang dahulunya hanya tertakluk kepada buku tertentu dan kini kepada semua jenis bahan bacaan.
“Begitu juga dengan skop yang diperluaskan bagi ubat-ubatan. Bagaimanapun, saya tetap menggesa kerajaan untuk mengecualikan GST kepada semua perkhidmatan, ubatan dan juga alatan kesihatan agar tidak menambah beban rakyat,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Dalam pada itu, Nurul Izzah turut menyuarakan kebimbangan keupayaan  kerajaan untuk melaksanakan GST selepas pengumuman kerajaan saat-saat akhir ini.
Katanya, kerajaan mempunyai enam tahun masa persediaan bagi menilai impak sosial dan merancang pelaksanaan GST dengan rapi, tetapi malangnya senarai pengecualian masih belum dimuktamadkan walaupun GST akan dilaksanakan pada minggu hadapan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga turut mempersoalkan pampasan yang akan diberikan kepada kepada syarikat-syarikat penerbitan berskala kecil dan besar yang telah melaksana pembelian stok barangan yang dicukai dalam senarai terdahulu.
“Kita jangka akan lebih banyak kekhilafan bakal disedari kelak dan apakah jaminan bahawa kastam tidak akan mengubah pendirian dalam menambah atau mengurangkan senarai barangan yang dikecualikan atau dikenakan GST.
“Oleh itu, kerajaan wajib menangguhkan pengenalan GST sehinggalah rakyat mempunyai pendapatan dua kali ganda daripada nilai sekarang,” katanya.