KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong menolak dakwaan pihak tertentu bahawa pelaksanaan GST menyebabkan peniaga kecil akan gulung tikar.
Tee Yong berkata, sebaliknya ketiadaan waris untuk meneruskan perniagaan serta kegagalan bersaing dengan pasar raya besar dan kedai francais menjadi punca peniaga kecil terlibat menutup perniagaan mereka.
“Kita telah mengadakan pertemuan dengan persatuan kedai runcit bagi mengenal pasti masalah mereka dan kita dapati bukan GST  sahaja yang menjadi punca mereka mahu menutup perniagaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang mendakwa terdapat peniaga kedai runcit di Pulau Pinang terpaksa menutup perniagaan mereka kerana tidak mampu berdepan cabaran pelaksanaan GST, antaranya kenaikan sewa premis yang juga dikenakan GST.
Sementara itu, Tee Yong berkata, peniaga dan orang awam dijangka mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk menyesuaikan diri dengan cukai baharu itu.
Katanya, masalah penyesuaian terhadap GST pasti dihadapi di mana-mana negara yang melaksanakan cukai baharu itu.
GST yang menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan akan dilaksanakan di seluruh negara bermula esok pada kadar enam peratus. – Bernama