Berita Hari Ini

GST: Rakyat perlu tahu kemana dibelanjakan

KOTA BHARU – Kerajaan persekutuan telah melakukan keputusan terbaik berpandukan penelitian dan kajian berkenaan dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun pelaksanaan cukai berkenaan masih lagi menjadi tentangan kepada rakyat, namun ia perlu disuarakan mengikut saluran tertentu.

“Kita kena hormat institusi, kita ada polis dan kastam, kita berhak suarakan pandangan tetapi apabila keputusan sudah dibuat sudah pasti kerajaan tidak sewenang-wenangnya buat keputusan.

“Kalau kita tidak melaksana GST, macam mana kita boleh memenuhi tuntutan gaji bertambah, pertambahan pembangunan luar bandar, nak tampung pencen bertambah, kita mempunyai sistem kaedah pencen antara terbaik dunia,” katanya kepada media di sini semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang menentang pelaksanaan GST yang berkuat kuasa 1 April ini ketika hadir program bersama Profesional Kelantan di Sutera Inn, semalam.

Menurutnya, rakyat harus tahu ini akan meningkatkan beban kerajaan, malah sebagai contoh, Kelantan mahukan lebuh raya dan perumahan untuk mangsa banjir, maka bertanggungjawab kerajaan adalah mencari sumber hasil baru seperti melalui GST ini.

Beliau juga berkata, apa yang penting ialah rakyat perlu tahu ke mana laluan cukai tersebut dibelanjakan, mungkin sebelum ini rakyat masih belum memahaminya sehingga ada yang menentang pelaksanaannya.

“Malah kita sedia maklum kerajaan perlu ambil tindakan beri keyakinan kepada rakyat wang itu akan dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang memang menepati kehendak rakyat, tidak harus ada ketirisan.

“Kerajaan sudah banyak ambil tindakan melalui laporan audit seumpamanya, untuk kurangkan penyelewengan dan ketirisan dalam perbelanjaan.

“Malah saya selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan sentiasa berjumpa, berhubung dan tulis surat mewakili mana-mana kumpulan yang mahukan kepastian termasuk wakil kerajaan supaya kita boleh bersemuka dan menyampaikan maklumat secara langsung kepada pihak yang merancang ekonomi negara,” katanya.

Mengulas pertemuan bersama profesional tersebut, beliau berkata, ia amat penting kerana ramai yang mahu memberi pandangan bahawa orang Kelantan fikir mereka dianaktirikan dalam pembangunan dan wujud diskriminasi.

“Itu pandangan beberapa pihak, saya dimaklumkan, bukan orang Kelantan sahaja, banyak negeri menyatakan dia dianaktirikan, tetapi sebenarnya, bukan bermakna kita tak dapat sesuatu, kita dianaktirikan.

“Kerajaan perlu uruskan sumber kewangan untuk diagihkan kepada negeri-negeri, kerajaan pusat sudah buat terbaik.

“Kita harap Rancangan Malaysia selepas ini, kerajaan akan agihkan peruntukan sebaik mungkin dan tumpuan diberikan kepada negeri-negeri yang tertinggal di belakang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");