Laporan Eksklusif

Hanya untuk pengganas

Kuala Lumpur: “Kerajaan tiada niat menggunakan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang dibentangkan di Parlimen nanti untuk tujuan politik,” tegas Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, POTA akan berperanan mencegah keganasan bagi mengelakkan kesan lebih buruk jika pihak berkuasa lewat bertindak.

Beliau berkata, jika langkah pencegahan tidak diambil bagi membendung keganasan maka tidak mustahil ramai akan terkorban.

“Kerana itu pengurusan pelaksanaan POTA bukan diletakkan di bawah anggota pentadbiran, tetapi di bawah satu badan yang berwibawa.

“Mencegah lebih baik dari merawat menjadi pegangan kerajaan dalam soal mencegah ancaman keganasan kerana sebelum berlaku keganasan, kita mesti ambil tindakan dulu mencegahnya kerana kesannya lebih buruk jika kita terlambat mengambil tindakan. Kita juga mementingkan hubungan kaum dan agama, oleh itu Akta Hasutan akan diperkukuhkan,” kata beliau semasa berucap merasmikan Hari Polis ke-208 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Pada sidang Dewan Rakyat lalu, Najib membentangkan usul khas Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ yang membawa kepada pembentangan penggubalan POTA dijadualkan pada sidang kali ini.

Dalam pada itu Najib berkata, ada pihak yang memperkecilkan pelaksanaan undang-undang antikeganasan itu dengan mendakwa ia tidak demokratik dan menyekat kebebasan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tiada kebebasan mutlak boleh wujud dalam sebuah negara demokrasi terutamanya di negara ini.

Kata beliau, setiap rakyat tertakluk di bawah undang-undang bagi memastikan keamanan dan keselamatan sentiasa terpelihara.

“Saya nak katakan, tiada kebebasan yang mutlak. Kebebasan yang mutlak tanpa tanggungjawab tiada tempat dalam negara ini,” katanya.

Berkaitan cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan pengganas, Perdana Menteri berkata, pasukan itu yang berdepan kritikan bertalu-talu di media sosial yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama juga mesti menangani masalah pencerobohan terhadap negara seperti di Lahad Datu, Sabah pada 2013 dan mengurangkan indeks jenayah.

“PDRM mempunyai cara berhadapan dengan cabaran ini,” kata beliau.

Mengenai sambutan itu, beliau berkata, ia diadakan sebagai tanda penghargaan kerajaan dan rakyat terhadap sumbangan, pengorbanan serta komitmen pasukan itu menjaga keamanan selain kedaulatan negara.

“Sesungguhnya amat sukar untuk membalas budi baik PDRM yang sudah banyak menyumbang kepada keamanan negara dengan pelbagai peristiwa sejak zaman darurat sehingga peristiwa pencerobohan Lahad Datu,” katanya.

Beliau menyelar tindakan pihak tertentu yang mengkritik dan memandang rendah perkhidmatan polis dengan menyifatkan mereka sebagai tidak bertanggungjawab.

“Kerana polislah kita dapat hidup aman dan keselamatan kita terjaga di dalam negara ini,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");