Jenayah

‘Ibu terkejut, anak lelong barang butik’

SEGAMAT – Seorang pengusaha butik perkahwinan di Jalan Salim, Kampung Abdullah, di sini, terpaksa berputih mata apabila kesemua barangan yang terdapat di kedainya itu dilelong oleh anaknya sendiri tanpa pengetahuannya.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai, Nurshila, 54, berkata, dia mengetahui barangan di kedainya dilelong melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar adik lelakinya, 17 Februari lalu.

“Sewaktu dia (adik) mengirimkan SMS tersebut, saya berada di Kuala Lumpur kerana urusan kerja dan saya tidak mengambil serius perkara tersebut pada awalnya kerana beranggapan dia hanya ingin bergurau dengan saya.

“Di dalam SMS tersebut, adik saya memberitahu anak ketiga saya telah membuat iklan lelongan barangan butik saya di laman sosial Facebook dan ternyata dakwaan itu betul kerana saya melihat sendiri ‘posting’ lelongan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, dia yang telah mengusahakan perniagaan Andaman selama 37 tahun berkata, butik tersebut juga telah ditutup untuk sementara waktu bermula April tahun lalu sehingga sekarang apabila mengalami sedikit masalah.

Katanya, baru-baru ini sewaktu dia dan adiknya pergi ke butik tersebut, dia juga terkejut apabila melihat sendiri barang-barangan yang diletakkan di butiknya itu kebanyakannya sudah hampir dijual dan kunci utama butik tersebut juga telah ditukar oleh anaknya itu.

“Hampir terduduk saya selepas melihat keadaan kedai yang hampir kosong, Bayangkan, gaun dan kot pengantin yang bernilai RM1,200 hanya dijual RM200 sahaja manakala almari kaca yang bernilai ribuan ringgit dijual pada harga ratusan ringgit sahaja.

“Dia (anak) tidak sepatutnya bertindak sebegini kerana barang-barang andaman tersebut adalah hak milik penuh saya seorang sahaja dan hanya bangunan kedai tersebut milik suami saya. Ada barangan milik butik lain turut dijual dalam lelongan tersebut,” katanya.

Menurutnya, akibat tindakan anaknya itu, dia juga kerugian hampir RM500,000 dan kebanyakan pembeli yang membeli barangan lelongan tersebut juga tidak mengetahui bahawa barangan tersebut bukan milik anaknya itu.

Katanya, baru-baru ini juga, anaknya itu turut menjual kereta Proton Satria miliknya kepada seorang penduduk di daerah ini pada harga RM6,000 sahaja dan hampir menjual sport rim dan tayar kereta Honda Civicnya kepada seorang lelaki.

“Laporan polis juga telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan selepas ini saya akan mengambi khidmat peguam bagi menyaman anak saya itu kerana bagi saya dia sudah melampau dan bertindak di luar batasan.

“Dia juga telah mengugut saya dan ahli keluarga yang lain supaya jangan datang lagi ke butik tersebut dan sekiranya kami datang kembali, dia akan membunuh saya. Saya meminta mereka yang telah terbeli barangan tersebut supaya pulangkan semula kepada saya,” katanya.

Tambah malang, dia kini juga hilang sumber pendapatan dan tidak mampu membayar hutang-hutang perniagaannya yang mencecah puluhan ribu ringgit.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");