Sukan Hari Ini

Impian jadi kenyataan

Dunia bola sepak tahun lalu bagaikan terpegun dengan kehadiran bintang muda ini ke dalam skuad utama Barcelona yang dibarisi pemain sehebat Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez.

Nama Munir El Haddadi tiba-tiba mencuit rasa ingin tahu terhadap pemain yang baru berusia 19 tahun itu, siapa dan dari mana asalnya? Pemain berketurunan Maghribi itu dilahirkan di San Lorenzo de El Escorial, Madrid, anak kepada tukang masak Mohamed El Haddadi Arbrqui, yang memperjudikan nasib di bumi Sepanyol apabila berkelana meninggalkan tanah kelahirannya pada usia 18 tahun.

Di Sepanyol, dia bertemu jodoh dengan seorang wanita berketurunan Arab, Zaida dan dikurniakan zuriat yang melakar karier cemerlang di pentas bola sepak sejak usia muda.

Munir bermula sebagai pemain pinjaman Real Madrid bersama pasukan Cadete A, CF Rayo Majadahonda pada 2010 dan pada musim itu berjaya menjaringkan 32 gol daripada 29 perlawanan.

Pencapaian itu menyalakan ‘isyarat pencetus’ buat skuad peninjau kelab ternama Eropah seperti Real Madrid, Manchester United dan Barcelona yang berminat mendapatkan khidmatnya untuk skuad remaja mereka.

Begitupun, peluang untuk menyertai akademi La Masia milik Barcelona benar-benar satu peluang sukar untuk ditolak pemain yang ketika itu baru berusia 14 tahun pada 2011.

Munir terus setia bersama Barcelona hingga menyertai skuad Barcelona B pada 2 Mac 2014 dan beberapa bulan selepas itu satu lagi sejarah baru tercipta buat penyerang itu.

Tanggal 24 Ogos 2014, Munir diserapkan ke skuad senior Barcelona, sekali gus mencapai impiannya sejak kecil untuk bersama kelab hebat itu.

Penampilan pertamanya bersama La Liga, mempertemukan dia dengan Elche CF di Camp Nou. Dia memulakan perlawanan dengan langkah kanan menjaringkan gol kedua yang menyumbang kepada kemenangan 3-0 pasukan itu.

“Saya bangga dapat menjaringkan gol di Camp Nou bersama Messi dan ramai pemain hebat di sekeliling saya,” kata Munir yang ternyata gembira dengan kejayaan itu.

“Saya amat gembira. Bermain bersama mereka bagaikan satu impian yang menjadi kenyataan. “Luis Enrique (pengurus Barcelona) memberitahu saya untuk terus lakukan apa yang saya lakukan, jadi saya akan terus berusaha untuk mencari lebih banyak peluang.

“Beliau memberitahu kami untuk bekerja keras dan menjadi semakin baik setiap hari.

Beliau pengurus hebat.”

Kejayaan itu jugalah yang turut menarik perhatian negara bapanya, Maghribi untuk mendapatkan sentuhan hebat anak muda itu, begitu juga dengan Sepanyol, negara kelahirannya.

Ibunya dalam satu wawancara memberitahu anaknya hampir pasti akan menyertai Maghribi, dan pernah dihubungi pengurusan bola sepak negara itu untuk menyertai skuad remaja, namun masalah pasport menghalangnya daripada berbuat demikian.

Perkara itu mencetuskan dilema buat Munir yang tidak tahu pasukan mana harus dipilihnya. “Anak saya memberitahu, ‘Ayah, saya tidak tahu apa perlu dilakukan.’

Saya katakan kepadanya, pergilah kepada sesiapa yang menghubungi kamu terlebih dahulu,” kata bapanya.

Munir akhirnya membuat penampilan sulungnya bersama skuad La Roja, sewaktu menewaskan Macedonia 5-1 dalam perlawanan kelayakan Kejuaraan Eropah.

“Mereka (Sepanyol), menghubunginya terlebih dahulu dan dia menyertai mereka. Jika Maghribi menghubunginya lebih awal, sudah pasti dia akan ke sana.

“Saya sentiasa katakan kepadanya, siapa yang lebih dahulu membuka pintu. “Begitupun, saya bangga dengannya.Saya tidak tahu dia akan sampai ke tahap ini dan saya tidak fikir ia akan berlaku begitu pantas, tetapi ia berlaku dan semuanya berjalan lancar.

“Saya sedar dia mempunyai bakat untuk menjadi pemain bola sepak bila dia pergi ke Barcelona. Satu perkara yang saya mohon, Allah menolong dia, itu saja.”

Munir sendiri turut gembira dengan pilihannya itu dan tidak pernah meraguinya. – See more at: -www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");