Sukan Hari Ini

Jelmaan Hamilton

Kuala Lumpur: Biarpun usianya baru mencecah belasan tahun, namun teknik dan gaya pemanduannya mengingatkan kita kepada juara dunia dua kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton dan tidak keterlaluan jika dia diibaratkan jelmaan pelumba dari Britain itu.

Cuma bezanya dia adalah anak tempatan yang dilahirkan dengan bakat semulajadi dan kini sedang dibentuk bagi melahirkan jagoan dunia dari Malaysia.

Adam Haikal Mazrul Haizad, itulah pelumba go-kart muda negara yang semakin mencipta nama di peringkat antarabangsa terutama selepas kejayaannya menakluk pusingan pertama Rotax Max Challenge 2015 di Litar Kart Antarabangsa, Sepang.

Adam, 15, mewakili Nizra Motorsport mudah menguasai saingan 20 pusingan apabila mencatatkan kepantasan 16 minit 36.678 saat menghampakan 29 pelumba lain yang Asia lebih senior daripadanya.

Meletakkan tumpuan untuk bergelar ‘Raja Asia’ musim ini, Adam berazam mahu menjuarai beberapa pusingan di peringkat Asia bagi membolehkannya mewakili benua ini ke Kejohanan Rotex Dunia Akhir di Litar Antarabangsa Portimao, Portugal, November depan.

“Untuk tahun ini, saya akan memberi fokus kepada saingan perlumbaan di Asia dan beberapa perlumbaan terpilih di Eropah untuk mematangkan lagi pengalaman.

“Saya ingin menjuarai dahulu perlumbaan di sekitar Asia secara konsisten dan meraih lebih banyak kejayaan di sini,” katanya yang dibimbing pengurus pasukan, Mohd Rohairijaz Mohd Ropin serta Mohd Sallehan Tahiran yang bertindak selaku jurulatih kecergasan.

Anak sulung daripada empat beradik milik pasangan Mazrul Haizad dan Norazda Daud itu berkelana hampir setahun di Eropah apabila menjadikan Itali sebagai pangkalan dengan menyertai 17 perlumbaan kategori junior. “Bersaing di Eropah amat berbeza dengan di sini.

Pelumba mereka amat bagus dari segi teknik dan jentera. Saya yakin dengan pengalaman berlumba di Eropah itu akan memberi kelebihan buat saya menggegar Asia,” katanya yang turut menjuarai Rotax Asia Invitational 2015 di litar sama awal tahun ini.

Bagi Mazrul pencapaian Adam di Sepang minggu lalu amat membanggakan.

“Sasaran utama kami adalah pada siri Kejuaraan Rotex Max Indonesia dan Rotax Max Challenge sekitar Asia.

Untuk layak beraksi di Kejohanan Rotex Dunia Akhir yang menghimpunkan ramai juara di setiap benua, Adam perlu sekurang-kurangnya menamatkan kedudukan di kelompok tiga pelumba terbaik Asia untuk layak mewakili benua ini,” katanya.

Berdasarkan jadual terkini Adam, dia dijangka akan berangkat ke Salbris, Perancis untuk beraksi pada kejuaraan Rotax Euromax 2015 bermula Selasa ini, sebelum kembali ke tanah air mengharungi perlumbaan pusingan kedua Rotax Asia Championship di Indonesia, April depan. – hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");