Membawang Hari Ini

Jengka penuh misteri, debaran

SEGALANYA bermula apabila seorang lelaki bertemu dengan pengarah terkenal, Aziz M Osman, yang ketika itu sedang dalam proses penggambaran drama di sebuah lokasi.

Lelaki tersebut kemudiannya menceritakan sebuah kisah yang didakwa berlaku kepada keluarganya di Jengka, Pahang, pada suatu ketika selepas majlis kenduri kesyukuran.

Tertarik dengan cerita lelaki tersebut, Aziz kemudiannya terfikir untuk menjadikan sebuah filem dan terhasillah Jengka.

Diterbitkan di bawah produksinya sendiri, Ace Motion Pictures Sdn Bhd, Aziz bagaimanapun membuat keputusan untuk menyuntik kelainan dalam karya terbitannya.

Justeru, dia meminta kerjasama dua anak saudaranya, Ramdan Che Hasaan dan Nyon Othman untuk mengarahkan Jengka, manakala dia bertindak sebagai penasihat cerita dan penerbit.

Menampilkan Riezman Khuzaimi sebagai Basir, Ramona Zamzam (Nini) Afida Es (Mak Fida), Raja Azrey (Along), Eyka Farhana (Aqish), Jobot (Ustaz Mizi) dan Sahiddin (Nyun), filem yang berkonsepkan paranormal ini mengisahkan Nini yang sarat mengandung meminta suaminya, Basir menghantar dia pulang ke kampungnya di Jengka, Pahang untuk melahirkan anak.

Kepulangan Nini di kampung diraikan keluarganya dengan mengaturkan majlis kenduri doa selamat sempena menyambut kelahiran bayi dikandung Nini.

Bagaimanapun mak bidan yang dijemput datang ke majlis itu menasihatkan Nini supaya tidak dibebankan dengan tekanan perasaan. Ini kerana, Nini akan diganggu ‘semangat tidak baik’.

Malangnya, pada majlis kenduri itu Nini mengetahui kecurangan Basir yang memiliki kekasih gelap. Akibat kecewa dan memberontak, Nini akhirnya lari dari rumah.

Nini menyusup masuk ke ladang kelapa sawit yang didakwa ‘berpenunggu’ dan hilang secara tiba-tiba. Bahkan, paling mengejutkan Basir, Along dan orang kampung hanya mendengar jeritan Nini dan tangisan bayinya, namun tidak menjumpai mereka.

Secara keseluruhannya, pada pandangan penulis, filem yang turut menggunakan teknik ‘found footage’ dalam rakamannya ini digarap dengan baik.

Biarpun ada beberapa babak dilihat kurang sesuai menggunakan teknik ‘found footage’ atau rakaman sebenar, namun ia tidak menjejaskan jalan cerita.

Sebaliknya, penonton akan ralit dengan persembahan cerita yang disusun baik dari awal hingga ke hujungnya.

Bahkan penonton pasti akan terasa debaran dan kejutan yang diselitkan dua pengarah muda ini dalam karyanya kali ini.

Apatah lagi, kewujudan entiti ‘seperti yang digambarkan’ daripada kisah benar akan membuatkan anda lebih terasa seramnya kerana ia berbeza daripada kisah-kisah seram yang ada sebelum ini.

Kurang menyengat

Bagaimanapun dari segi lakonan, penulis melihat gandingan Riezman dan Ramona kurang menjadi. Bukan kerana perbezaan usia yang ketara, namun kurang keserasian.

Namun kekurangan itu berjaya ditutup dengan lakonan mantap kedua-dua pelakon ini, dan juga bantuan pelakon lain yang tidak kurang hebatnya.

Malah penulis rasakan, sudah tiba masanya untuk penonton mengenali siapa Ramona dan memberi perhatian kepada pelakon muda ini.

Justeru, bagi anda yang ingin mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku kepada Nini? Adakah Nini dan bayinya selamat? Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");