Jenayah

Kempunan makan nasi kenduri

ALOR SETAR – Kegembiraan sebuah keluarga pulang bercuti di kampung sempena meraikan majlis perkahwinan saudara di Megat Dewa, Kodiang bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 55.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Pendang, kira-kira jam 5 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki maut manakala tiga lagi parah selepas kereta Perodua Myvi dinaiki berlanggar dengan bas ekspres.

Difahamkan semua mangsa, Wan Halim Wan Abdullah, 60, pesara Telekom Malaysia (TM) bersama isteri, Siti Zaleha Ismail, 59, serta menantu, Nor Azlina Dahari, 36, cedera parah manakala anaknya, Wan Mohd Fahili Wan Halim, 32, maut di lokasi kejadian.

Menurut adik Wan Halim, Wan Noriah Wan Abdullah, 33, mereka dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menghadiri majlis kenduri anak saudara yang berlangsung semalam (Sabtu).

“Bagaimanapun keluarga saya bergerak awal menaiki kereta lain kira-kira jam 9 malam.

“Dalam perjalanan, abang sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui keadaan trafik sama ada berlaku kesesakan sebelum memutuskan untuk keluar kira-kira setengah jam lewat dari saya,” katanya.

Namun apabila sampai di kawasan Taiping, mereka berhenti rehat manakala keluarga abangnya meneruskan perjalanan ke Alor Setar.

Pemandu bas ekspres, Arzan Izuan Hamzah, 39, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terminal Bas Shahab Perdana di sini, dengan membawa 46 penumpang.

“Kejadian berlaku semasa saya mahu menukar laluan ke kanan iaitu lorong laju dan ketika itu saya terkejut melihat sebuah kereta berada di tengah laluan lebuh raya dengan keadaan lampu terpadam.

“Saya tidak sempat mengelak kerana jaraknya terlalu dekat menyebabkan bas merempuh belakang kereta itu,” katanya ketika ditemui di Wad Pemerhatian Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Pendang, Asisten Superintendan Hawari Mohd Jamil berkata, mereka masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

– mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");