Jenayah

Khazanah seabad musnah

Melaka: Deretan enam rumah kedai dua tingkat berusia hampir 100 tahun musnah dalam kebakaran di Jalan Parameswara, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 9.40 pagi itu mengejutkan penduduk setempat yang bersarapan di gerai berhampiran.

Menurut saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Chan, 55, dia bersama rakan bersarapan di gerai berhampiran sebelum menyedari mengenai kebakaran itu apabila ternampak asap tebal.

“Selepas kami nampak asap tebal dari deretan kedai itu, kami meninjau ke arah jalan dan mendapati api marak menjilat deretan enam kedai yang separuh binaannya diperbuat daripada papan.

“Bangunan ini berusia hampir 100 tahun, namun beberapa kedai sudah lama kosong melainkan sebuah kedai yang masih menjalankan urusan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah dikenali sebagai Cheng, 41, terkejut melihat api menjulang tinggi sebelum bergegas ke lokasi untuk melihat apa yang berlaku.

“Pada jam 9 pagi, saya berada di laman rumah melihat deretan kedai ini masih elok, namun sekarang sudah terbakar. Sebelum ini tidak pernah berlaku kebakaran di kawasan berkenaan,” katanya.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Penguasa Kanan Bomba II (PKB) Azman Sulaiman berkata, pihaknya mengawal kebakaran dalam tempoh 10 minit selepas jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada jam 9.58 pagi.

Beliau berkata, api dipadam sepenuhnya pada jam 12.02 tengah hari.

“Api dipercayai merebak daripada bahagian bawah lot kedua rumah kedai berkenaan sebelum merebak ke premis bersebelahan,” katanya.

Difahamkan lima rumah kedai tidak beroperasi sejak beberapa minggu lalu dan hanya sebuah premis saja menjalankan perniagaan ukiran.

Azman berkata, punca dan anggaran kerugian dalam siasatan dan pihaknya mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan.

“Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Dalam operasi memadam dan menyelamat itu, tujuh jentera pemadaman api dari empat Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Ayer Keroh, Jasin dan Bukit Katil dikejarkan dengan kekuatan 32 pegawai dan anggota bagi memadamkan api.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");