Berita Hari Ini

LIMA ’15: Penyertaan terbesar tahun ini

LANGKAWI 6 Mac – Penglibatan lebih banyak pemain sektor komersial pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA’15) mampu meningkatkan lagi kedudukan industri pertahanan sebagai aspek penting ekonomi negara, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, penglibatan secara langsung buat kali pertamanya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Pengangkutan pada LIMA kali ini telah menarik lebih ramai pemain sektor komersial.

“Ini merupakan pendekatan yang wajar dalam (penganjuran) LIMA akan datang (untuk mengimbangi) nisbah di antara aset-aset ketenteraan dan aset-aset komersial dan juga melihat kepada industri pertahanan itu sebagai satu pemangkin kepada pengukuhan ekonomi kita pada masa masa akan datang,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Penyelarasan LIMA’15 Peringkat Menteri di sini, hari ini.

Menurutnya LIMA’15 telah direncanakan untuk diisi dengan beberapa program baharu yang boleh menjadi model kepada penganjurannya pada tahun-tahun mendatang.

Hishammuddin berkata, LIMA’15 yang akan menumpukan pada penglibatan ASEAN akan memberi peluang kepada Malaysia selaku pengerusi ASEAN untuk membuktikan keunikan dan kelebihan dimilikinya.

Katanya, selain menteri-menteri daripada kalangan negara ASEAN, sejumlah 150 orang belia daripada rantau ini juga akan menghadiri LIMA kali ini.

“Ini satu peluang yang terbaik bukan sahaja untuk memastikan dari segi industri maritim dan aeroangkasa ini dapat dipromosikan, ia juga dapat memposisikan kita (Malaysia) dan kelebihan yang ada pada kita ini kepada dunia,” katanya.

Hishammuddin berkata, setakat ini sebanyak 512 syarikat maritim dan aeroangkasa dari 36 buah negara telah mengesahkan penyertaan dalam pameran kali ini yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 Mac ini.

Menurutnya ia merupakan penyertaan terbesar dalam sejarah penganjuran LIMA dan jauh mengatasi jumlah penyertaan dalam LIMA 2013 iaitu 433 buah syarikat.- BERNAMA

-Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");