Membawang Hari Ini

Majlis kahwin impian Sarimah

Berbaki empat hari, persiapan pernikahan selebriti serba-boleh Sarimah Ibrahim, 37, dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar berjalan lancar.

Pasangan ini yang bertunang 27 September lalu, dijadualkan bernikah pada pagi 2 April dalam majlis tertutup, diikuti majlis resepsi sebelah malamnya di Hotel Prince Kuala Lumpur.

Sewaktu dihubungi, Sarimah akui masih sibuk memastikan segala pesiapan terakhir berjalan seperti dirancang. Dia juga baru selesai melakukan suai padan untuk pakaian nikah dan persandingan dihasilkan pereka berpengalaman, Salikin Sidek.

Sarimah memilih konsep tradisional apabila mengenakan baju kurung dan songket pada hari pernikahan dan persandingan.

Bercerita lanjut mengenai perancangan majlis secara keseluruhan, kata Sarimah, dia dan bakal suami mahukan suasana yang dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga kedua-dua pihak.

“Ini pernikahan kali kedua saya mahupun bakal suami. Jadi kami berasakan lebih baik jika majlis pernikahan dan persandingan menghimpunkan keluarga, teman rapat dan rakan media yang banyak menyokong kerjaya seni saya dari dulu hingga sekarang.

“Untuk majlis pernikahan nanti, ia dibuat secara tertutup dan hanya akan dihadiri 70 tetamu membabitkan ahli keluarga dan saudara mara. Majlis resepsi pula tidak lebih 300 orang,” katanya.

Kata Sarimah, walaupun majlis diadakan dalam skala kecil, mereka harus melaksanakannya mengikut protokol kerana ia akan turut dihadiri kerabat Negeri Sembilan.

“Pada saya, pengertian ‘wedding of the year’ bukan berapa ramai yang hadir di majlis atau dewan dipenuhi hiasan berlebih-lebihan, sebaliknya ia akan menjadi acara ulung apabila mereka yang hadir, walaupun dalam jumlah kecil, boleh merasai kegembiraan mempelai.

“Kalau jemput ramai-ramai tetapi tidak kenal antara satu sama lain dan tidak mahu bercampur pun tidak bagus juga. Diharapkan apa yang dirancang berjalan lancar,” katanya.

Pelakon kacukan Melayu-Ireland ini menjelaskan, ahli keluarga dan saudara-maranya dari Dublin akan datang ke Kuala Lumpur untuk sama-sama menjadi saksi di majlis pernikahannya.

“Saya tidak sabar melihat anak saudara dan sepupu mengenakan baju kurung dan menjadi dayang kepada mempelai. Mesti cantik dan comel,” katanya.

Sarimah akui dia mengimpikan majlis perkahwinan berkonsepkan Inggeris tetapi mempunyai sentuhan tradisional. Disebabkan itu, selain busana digayakan, dia memastikan makanan dihidangkan kepada tetamu juga akan memberi sedikit sentuhan tradisi.

“Bayangkan nanti di majlis kami, tetamu akan dihidangkan dengan lauk pauk tradisi seperti rendang tok, pucuk manis masak lemak dan sotong masak sambal. Makanan seperti ini jarang dihidangkan dalam majlis perkahwinan. Walaupun hiasan dewan gaya Inggeris, saya tetap mahu ada elemen tradisional,” katanya.

Jelas Sarimah, dia sangat berbesar hati majlis yang diadakan kali ini dihadiri beberapa teman media memandangkan perkahwinannya bersama Amir Andrew Abdullah pada 2006 tidak disaksikan media kerana diadakan di luar negara.

Bagaimanapun, jodoh Sarimah dan Amir tidak panjang dan mereka bercerai pada 15 Mei 2009. Bulan lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan, lafaz cerai dibuat Amir sah mengikut syarak.

Sarimah dan Tunku Nadzimuddin atau Tunku Jamie, 43, dipertemukan kali pertama sewaktu menghadiri majlis makan malam kenalan mereka berdua, tahun lalu.

Selepas sembilan bulan mengenali hati budi masing-masing, mereka bertunang pada 27 September 2014 dan kedua-duanya belum dikurniakan anak.

Mengenai perancangan selepas nikah, kata Sarimah, dia akan tetap sibuk dengan kerjaya seni seperti biasa. Tambah pula dia bakal mengendalikan program Bella di ntv7 bermula 15 April depan.

Malah, Sarimah yang mula dikenali sebagai penyanyi melalui lagu Kini Kau Tiada, bakal sibuk dengan kerjaya nyanyian. Sebaik pulang dari berbulan madu di New York, Jun depan, dia akan masuk studio bagi kerja rakaman dua single iaitu satu dalam bahasa Melayu dan satu Inggeris.

“Walaupun selepas bernikah nanti status saya berubah dan menggunakan gelaran Cik Puan, saya tetap Sarimah yang sama dan bakal suami tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang seni yang saya ceburi sejak 1996,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");