Berita Hari Ini

Malaysia sasar jadi hab teknologi hijau

PUTRAJAYA – Malaysia sedang mengorak langkah untuk menjadi hab teknologi hijau di rantau Asean menerusi pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau Negara yang holistik dan berterusan.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan kini di landasan perancangan yang betul bagi pembangunan lestari dan kemajuan teknologi hijau.

“Sebagai bukti, laporan dwitahunan EPI (Indeks Prestasi Alam Sekitar) 2014 yang dihasilkan Yale University, menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-51 daripada 178 buah negara.

“EPI ini mengukur kedudukan negara-negara dunia dalam pelaksanaan dasar berkaitan isu alam sekitar yang berfokus kepada perlindungan kesihatan manusia daripada bahaya alam sekitar dan perlindungan ekosistem,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual di sini.

Mahdzir berkata, di peringkat Asean pula Malaysia di tangga ketiga selepas Singapura dan Brunei.

“Jelas, kedudukan ini masih perlu diperbaiki namun saya amat yakin sasaran kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi hijau di rantau Asean dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia bergerak lebih agresif untuk berubah ke arah penggunaan teknologi tinggi serta industri berasaskan pengetahuan yang intensif agar dapat kekal berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Katanya, kementerian sedang membuat perancangan pelaksanaan program dan projek yang menumpukan peningkatan sumbangan teknologi hijau kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

“Selain itu, Pelan Induk Teknologi Hijau Negara dan ‘Electric Mobility Blueprint’ juga telah disediakan dengan tujuan mengukuhkan semua inisiatif, program dan aktiviti yang akan dilaksanakan supaya menjadi lebih efektif dan sistematik,” katanya.

Mahdzir berkata, di samping itu, kementerian juga mengadakan kolaborasi dengan beberapa negara seperti Korea Selatan dan Kemboja bagi mempelopori bidang teknologi hijau yang akan menyumbang kepada pembangunan hijau di rantau ini.

Beliau turut menjelaskan sasaran hab teknologi hijau Asean itu akan mengambil masa dan perlu dilaksana secara berperingkat kerana bidang teknologi hijau masih baru di negara ini dan Dasar Teknologi Hijau Negara hanya dilancarkan pada 2009.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata teknologi hijau yang merangkumi sektor ekonomi utama iaitu tenaga, bangunan, pengangkutan, pengurusan sisa dan air menyumbang RM7.9 bilion atau 0.8 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013.

“Pelaburan daripada teknologi hijau daripada sektor-sektor tersebut adalah sebanyak RM920 juta dan jumlah pendapatan yang direkodkan pula adalah RM33.1 bilion pada 2013,” katanya.

Katanya berdasarkan kajian yang dijalankan kementerian, pembangunan teknologi hijau disasar dapat menyumbang RM22.4 bilion menjelang 2020 dan RM60 bilion pada 2030 kepada KDNK.

“Pelaburan dijangka dapat meningkat kepada RM28 bilion dan RM86.3 bilion menjelang 2020 dan 2030 serta dapat mewujudkan 114,590 peluang pekerjaan pada 2020, dan pada 2030 pula akan ada 211,500 peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, tanpa menyatakan nama syarikat, Mahdzir berkata di Malaysia sudah ada beberapa syarikat tempatan antaranya di Pahang dan Selangor yang menghasilkan panel solar fotovoltan (PV) untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Dari segi mengilang dan mengeluar panel solar ini, kita antara tiga yang teratas di dunia,” katanya. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");