Jenayah

Maut akibat elak motosikal

PORT DICKSON – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu rakannya terbabas dan terbalik di Kilometer 2.4 jalan pintas Port Dickson, kira-kira 7.55 pagi semalam.

Mangsa, L K Vinoth, 23, maut di tempat kejadian, sementara rakannya berusia 23 tahun cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian berlaku apabila kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Vios dari arah Telok Kemang dipercayai gagal mengawal kenderaan.

“Pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan selepas mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah sama, lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa yang maut duduk di bahagian penumpang sebelah pemandu tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami cedera parah di beberapa anggota badan,” katanya.

Baharudin berkata, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan telah dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, S Murthi, 34, berkata, dia yang kebetulan sedang memandu dan melalui jalan pintas itu melihat insiden kemalangan berkenaan.

Menurutnya, dia segera memberhentikan kenderaannya dan membantu mengeluarkan mangsa yang masih berada di dalam kereta.

“Rakannya yang tercampak keluar dari kereta parah, namun pemandu kereta selepas berjaya dikeluarkan boleh berdiri dan bercakap, cuma dia kelihatan sangat terkejut,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");