Berita Hari Ini

PDRM Harap Kerajaan Tambah Baik Skim Perkhidmatan Termasuk Elaun

ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap kerajaan menyemak semula permohonannya untuk menambahbaik skim perkhidmatan pasukan keselamatan itu termasuk elaun terutamanya yang berkhidmat di kawasan pedalaman, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkeyakinan menerusi penambahbaikan skim perkhidmatan itu, sistem penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat akan bertambah baik dan lebih efisien.

“Antara perkara terpenting melibatkan semakan semula terhadap elaun bagi anggota polis yang berkhidmat jauh di kawasan pedalaman tanpa bekalan elektrik, air dan pelbagai kemudahan lain,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan persatuan-persatuan dalaman PDRM di sini, Isnin.

Katanya, anggota polis yang berkhidmat di pedalaman hanya menerima elaun pedalaman sebanyak 10 peratus daripada gaji, berbanding penjawat awam lain yang menerima elaun kesusahan secara kadar rata sebanyak RM1,500.

Noor Rashid berkata, PDRM meminta kerajaan memanjangkan kemudahan elaun kesusahan itu kepada anggota polis yang berkhidmat di kawasan pedalaman.

Timbalan Ketua Polis Negara berkata, permohonan bagi mendapatkan elaun kesusahan bagi anggotanya yang berkhidmat di pedalaman telahpun dikemukakan kepada kerajaan tidak lama dahulu.

Beliau menganggarkan terdapat kira-kira 1,500 hingga 2,000 anggota polis yang sedang berkhidmat di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta di Semenanjung, dengan kebanyakan mereka berpangkat rendah.

Anggota terbabit katanya, turut bertugas di pulau-pulau tidak berpenghuni di Sabah dan Sarawak, bertujuan menjaga keselamatan negara dan mengawasinya daripada sebarang pencerobohan asing.

Noor Rashid berkata, anggota terlibat terpaksa menempuh pelbagai kesulitan semasa bertugas.

“Kesusahan yang dihadapi oleh anggota kita yang bertugas di pedalaman adalah sama dengan penjawat awam yang lain seperti guru dan pegawai kesihatan.

Diharapkan elaun kesusahan itu turut dipanjangkan kepada anggota kami,” katanya.

Katanya PDRM juga meminta kerajaan menambah baik elaun perumahan terutama bagi anggota yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang.

Memandangkan kemudahan perumahan yang disediakan tidak mencukupi, ramai anggota terpaksa menyewa dan ini membebankan meerka dari segi kewangan dan PDRM mencadangkan kerajaan menanggung bayaran sewa rumah anggota polis terbabit, katanya.

Noor Rashid berkata kerajaan juga diminta mengkaji semula skim kenaikan pangkat, laluan kerjaya serta penambahbaikan beberapa elaun lain.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Mohd Fuzi Harun dan Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");