Perak Hari Ini

Pekerja Kilang Buntu Terima Saman Kereta Sudah Dilelong

IPOH: Seorang pekerja kilang berasa terkejut selepas menerima surat saman atas kesalahan memandu melebihi had laju sedangkan kereta yang digunakan itu sudah dilelong pihak bank, kira-kira tiga tahun lalu.

Pengadu, Nor Haida Rabidi, berkata beliau begitu terkejut apabila membaca kandungan surat saman tersebut di kediaman ibunya di Meru, dekat sini, pada 24 Mac lalu.

“Surat saman dikeluarkan pada 5 Mac lalu di Kota Bharu, Kelantan atas nama saya dengan kesalahan memandu lebih daripada had laju yang ditetapkan.

“Tetapi, kereta dengan nombor pendaftaran WHK6720 itu telah ditarik dan dilelong oleh pihak bank pada tahun 2012,” ujar beliau lagi.

Haida berkata, beliau kemudiannya membuat laporan polis pada malam yang sama untuk rujukan pihak trafik.

Beliau menjelaskan, sebelum ini, pihaknya telah menerima surat daripada pihak bank yang memaklumkan kereta itu sudah ditarik dan dilelong pada 21 September 2013.

Katanya lagi, difahamkan, insuran kereta berkenaan masih lagi menggunakan namanya.

Haida yang ditemui di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN), berkata kereta tersebut ditarik oleh pihak bank disebabkan masalah kewangan yang dihadapinya selepas mengalami kemalangan pada 2005.

“Selepas kemalangan, pihak insurans mengeluarkan surat yang mengatakan kereta tersebut mengalami ‘total lost’ dan saya tidak pasti sama ada pihak bank dapat salinan surat tersebut atau tidak.

“Pihak bengkel kemudiannya menghubungi suami dan mengatakan, kereta tersebut perlu diambil atau kami perlu membayar kepada pihak bank sebanyak RM16,000 secara tunai,” kata beliau.

Haida turut berkata, pada ketika itu, beliau dan suami tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan hanya menurut apa yang dikehendaki oleh pihak bengkel.

Menurutnya lagi, selepas kereta tersebut ditarik dan dilelong, beliau tidak mengetahui kepada siapa kereta tersebut dijual.

Haida telah menerima surat daripada bank yang mengatakan, kereta tersebut telah dijual sebanyak RM1,200 dan mempunyai tunggakan hutang sebanyak RM12,899.

“Saya tidak lari daripada membayar hutang tetapi saya pelik apabila kereta tersebut masih di atas nama saya walaupun sudah dilelong oleh pihak bank.

“Sebelum ini, saya dihubungi oleh seorang peguam yang dilantik oleh bank, dan peguam berkenaan menyuruh saya ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membatalkan insurans kereta tersebut,”ujar beliau.

Bagi Ketua Urus Setia Pusat Khidmat BN, Mohd. Rawi Abdullah, beliau menasihatkan kepada pengguna agar menyerahkan kereta mereka kepada pihak bank jika tidak mampu membayar ansuran bulanan.

“Jangan jual atau serahkan kereta kepada pihak lain selain bank.

“Jika pihak tersebut tidak bertanggungjawab, mereka akan menjualnya kepada pihak ketiga yang mungkin akan menggunakannya untuk melakukan kesalahan jenayah.

“Kesannya, pemilik asal kenderaan berkenaan akan dikenakan saman dan bakal menghadapi tindakan undang-undang,” tegas beliau.

Beliau turut berkata, pihaknya akan melantik peguam bagi membantu Haida menuntut haknya bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi di masa akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");