Perak Hari Ini

Pemakaian Serba Hitam Tidak Menghina Dewan: PR

IPOH: Seramai 26 wakil rakyat pembangkang yang memakai pakaian serba hitam dalam istiadat pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13, mendakwa perbuatan tersebut tidak menghina dewan yang bersidang, pagi tadi.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, pemakaian tersebut bukannya bertujuan menghina dewan kerana kod pemakaian telah diperuntukkan dalam Perintah Tetap iaitu membenarkan pemakaian selain pakaian rasmi.

Jelasnya lagi, tindakan tersebut adalah untuk menunjukkan tanda solidariti terhadap Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara selama lima tahun selain bantahan terhadap beberapa insiden yang berlaku dalam negara.

“PKR bersama-sama dengan orang yang dizalimi dan tindakan itu juga sebagai sokongan kepada 13 ahli PAS yang telah ditangkap pada 26 Februari 2009 dan dipenjarakan di Penjara Kajang selama 10 bulan,

“Mereka ini orang kena zalim (OKZ) dan kami bersimpati dan menyokong keluarga mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, sokongan turut diberi kepada Adun Teja dan Adun Simpang Pulai yang tidak dapat hadir kerana terpaksa hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk menjelaskan wang jaminan lepas lokap.

“Rakyat bersedih kerana mulai 1 April, mereka akan menangung penyeksaan kerana dipaksa untuk bayar 6 peratus cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya.

Jelasnya, pemakaian serba hitam adalah lambang bersama-sama rakyat dan seramai 154 pemimpin dan aktivis PKR telah ditahan di lokap serta terpaksa membayar wang jaminan yang tinggi akibat menyuarakan pendapat.

“Ahli Parlimen Lembah Pantai turut dilokap satu hari dan kita harap ia tidak berlaku di Perak,” katanya.

Sementara itu, bagi Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming, tindakan itu sebagai tanda membantah terhadap pencabulan hak asasi kepada pihak pembangkang.

“Adun Teja dan Adun Simpang Pulai tidak dapat hadir pembukaan rasmi sidang kerana telah dilokap dan dihina secara terbuka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");