Jenayah

Penembak mungkin salah rumah

KUANTAN: Itu antara kemungkinan berdasarkan siasatan awal membabitkan kejadian tembakan di kediaman Kapten Pahang, Mohd Razman Roslan, di Taman Kubang Buaya 35, dekat sini, pada 11 Mac lalu.

Mengesahkan perkembangan itu semalam, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fatimah Ghazali, berkata pihaknya sudah menjalankan siasatan kes itu termasuk merekodkan keterangan daripada mangsa dan ahli keluarga serta jiran mereka.

Namun, katanya, setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk jelas bagi merungkaikan kes berkenaan.

“Kemungkinan suspek salah rumah kerana kita tidak menemui sebarang petunjuk lain. Soal siasat terhadap mangsa juga tidak mendengar bunyi kereta atau motosikal sebelum berlakunya kejadian tembakan.

“Setakat ini juga polis belum dapat mengenal pasti identiti suspek yang bertanggungjawab menembak kediaman mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam kejadian 11 Mac lalu, Mohd Razman dan keluarganya dikejutkan dengan bunyi tembakan di luar rumah mereka yang dipercayai dilepaskan individu tidak dikenali.

Siasatan polis selepas itu mendapati lima tembakan dilepaskan dengan tiga daripadanya terkena cermin kenderaan pelbagai guna (MPV) di situ menyebabkannya pecah, manakala dua lagi di dinding rumah berkenaan. Senjata yang digunakan dipercayai jenis revolver.

Ketika kejadian, Mohd Razman dikatakan sedang menonton televisyen manakala isterinya, Ozy Azeya Abd Aziz, 30, dan dua anak lelakinya, berusia tiga dan lima tahun sedang tidur.

Susulan kejadian itu, ada dakwaan mengaitkan ia berkaitan dengan ancaman bookie bola sepak, namun tiada sebarang bukti yang mengesahkan perkara berkenaan hingga kini.

Polis juga menyiasat laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter milik Mohd Razman yang dikatakan lantang memuat naik status serta komen sehingga mendatangkan ketidakpuasan hati pihak tertentu.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");