Jenayah

Pisang kecut, petani putus rezeki

BALIK PULAU – Dianggarkan kira-kira 200 petani tanaman pokok pisang bakal kehilangan mata pencarian apabila tanaman mereka diserang virus moko sejak pertengahan tahun lalu.

Ia berikutan sebanyak 153 hektar kawasan tanaman pisang mereka terjejas di 10 buah kampung di seluruh Balik Pulau antaranya termasuk Kampung Perlis, Permatang Pasir, Sungai Rusa, Teluk Kumbar, Gertak Sanggul, Titi Teras, Sungai Burong, Sungai Nipah dan Kampung Enam.

Lebih memburukkan keadaan, bukan sahaja hasil yang ditanam tidak menjadi, malah buah pisang yang dihasilkan juga bertukar menjadi warna hitam dan coklat serta ia turut menjadi sarang bakteria dan ulat.
Serang tanaman sejak lebih 10 bulan lalu

Pengerusi Kelompok Pertanian Kampung Perlis Balik Pulau, Saidi Md Noor berkata, virus itu sudah menyerang tanaman mereka lebih dari 10 bulan lamanya.

Menurutnya, akibatnya petani di situ mengalami kerugian lebih dari RM500 hingga RM2,500 sebulan.

“Pisang yang dihasilkan di sini sememangnya menjadi pilihan ramai. Ada kalanya ia dijual dari RM1.20 sekilogram dan pasaran luar boleh mencecah sehingga RM2.50 sekilogram.

“Petani semakin bimbang apabila satu demi satu pokok diserang virus dan buah langsung tidak menjadi,” katanya ketika mengadakan lawatan ke ladang pokok pisang yang terletak di Kampung Perlis.

Katanya, jumlah keseluruhan tanaman pisang ialah seluas 336 hektar dan dia menjangkakan kesemua pokok pisang di situ sudah pun terjejas.

“Ia begitu mudah merebak, bukannya dari bawaan angin tapi ejennya adalah manusia sendiri iaitu melalui peralatan berkebun dan juga pakaian,” katanya.

Kos pulih tanaman cecah RM4 juta

Saidi berkata, kesemua pokok pisang di Balik Pulau perlu dimusnahkan segera bagi mengelakkan virus ini terus membiak.
“Sehingga kini ia langsung tidak menunjukkan perubahan untuk membolehkan virus berkenaan pulih. Tanaman pisang adalah tanaman utama, jadi jika kita biarkan ia berlarutan dibimbangi sampai bila-bila pun takkan pernah baik dan petani sendiri rugi sekali gus menyebabkan ekonomi kita sendiri jatuh.

“Salah satu langkah terbaik ialah memusnahkan kesemua pokok ini dan ia perlu mendapat kerjasama kerajaan negeri dan pusat. Malah dianggarkan kos untuk membaik pulih ini mencecah RM4 juta,” katanya.

Sementara itu, Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, beliau dimaklumkan Jabatan Pertanian sudah pun membuat kerja pemusnahan pokok di tanah seluar 12 hektar.

“Tetapi ia masih belum mencukupi, kerja pemusnahan ini perlu dilakukan segera dan saya merayu kepada mana-mana penduduk di sini supaya turut sama memusnahkan pokok pisang berhampiran rumah mereka.

“Virus ini tetap akan merebak, dan jika ada satu pokok pisang yang tinggal sekalipun, ia pasti sukar untuk kita menaikkan kembali mutu pisang keluaran Balik Pulau,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");