Perak Hari Ini

Program MAIPk Bantu Golongan Asnaf Di Perak

IPOH: Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dijangka mampu mengubah taraf hidup golongan itu dalam jangka masa panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Amiruddin Muhamed, berkata, MAIPk mensasarkan golongan asnaf yang terlibat di dalam program itu dapat dikeluarkan daripada penerima bantuan bulanan pada penghujung tahun ini.
“Purata pendapatan bulanan bagi peserta program ini adalah sebanyak RM2,000 ke atas dan ada yang mencecah sehingga RM4,000 sebulan.
“Pada tahun lalu, kita menyasarkan seramai 30 orang untuk dikeluarkan daripada kemiskinan, namun cuma 25 orang sahaja yang dapat dikeluarkan,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Produk Usahawan Asnaf MAIPk di Pasar Tani Stadium Perak, pagi tadi.
Katanya lagi, peserta akan diajar dan diberi pendedahan dari segi pembungkusan, penjenamaan dan juga pemasaran dalam memasarkan produk mereka.
Amiruddin menambah, program ini akan diteruskan dengan memilih golongan asnaf yang dilihat produktif dengan mengeluarkan produk yang berpotensi.
“Golongan asnaf yang akan menyertai program ini di masa hadapan akan diletakkan di bawah golongan asnaf yang sudah berjaya bagi memudahkan proses pembelajaran,” tegas beliau lagi.
Beliau turut berkata, MAIPk turut bekerjasama dengan agensi lain dalam menjayakan program tersebut.
Dalam masa yang sama, MAIPk turut membantu golongan ini dengan menyediakan modal seperti mesin dan mendapatkan bekalan bahan mentah.
MAIPk juga bercadang akan mewujudkan satu ruang khas di laman sesawang jabatan itu bagi mempromosikan produk peserta program ini.
Bagi pengusaha produk Mai Cake and Pastry, Mai Faridah Nazari, 48, kehidupan keluarganya berubah kepada yang lebih baik selepas menyertai program tersebut.
“MAIPk membantu saya sejak tahun lalu dengan membekalkan peralatan dan juga peruntukan sebanyak RM5,000.
“MAIPk memainkan peranan yang besar dengan memberi kursus yang sewajarnya dalam memasarkan produk saya ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.
Katanya lagi, pendapatan bulanannya kini sudah melebihi RM2,000 sebulan berbanding RM1,000 sebulan sebelum menyertai program ini dengan memasarkan produk di kawasan kediamannya di Manjoi dan juga melalui pemborong.
Bagi pengusaha ikan pekasam dari Bagan Datoh, Suzilawati Samaon, beliau tidak menjangka permintaan ikan pekasam cukup tinggi di pasaran.
“Pada mulanya saya tidak yakin untuk memasarkan ikan pekasam kerana takut tiada permintaan.
“Namun, selepas dibantu oleh MAIPk dengan memasarkan di atas talian, ia dapat membantu keluarga untuk kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau melakukan aktiviti jualan di sekitar Bagan Datoh hingga ke kawasan Tanjung Karang, Selangor.
Beliau merupakan penerima bantuan asnaf sejak tahun 2012 dan menerima suntikan modal sebanyak RM3,000 daripada pihak MAIPk.
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");