Jenayah

Rumah dipecah ketika sibuk buat liputan berita

KUALA TERENGGANU – “Tidak sangka pula, ketika saya sibuk membuat liputan operasi jabatan imigresen di luar, rupa-rupanya pada masa sama, pencuri pula sibuk membuat ‘operasi’ di rumah saya,” kata wartawan TV9, Mohd Zamri Ghani, 40.

Mohd Zamri terpaksa berputih mata apabila menanggung kerugian kira-kira RM5,000 selepas rumah sewanya dipecah masuk, dalam kejadian di Kampung Taman Purnama, Kuala Ibai, di sini, kelmarin.

Jelasnya, kejadian itu hanya disedari selepas pulang dari membuat liputan operasi Jabatan Imigresen Negeri Terengganu di sekitar kawasan Kampung Banggol Peradong dan Seberang Takir, di sini.

“Saya keluar rumah kira-kira jam 10 malam (malam kejadian) untuk membuat liputan operasi pekerja warga asing dan selesai tugasan lebih kurang jam 4 pagi.

“Bagaimanapun, saya tidak terus pulang ke rumah kerana singgah di rumah ibu mertua di Kampung Bukit Besar, untuk mengambil isteri yang tinggal sementara di sana sepanjang saya bertugas,” katanya.

Setibanya di depan rumah, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana keadaan pintu pagar rumahnya berkunci dalam keadaan baik.

“Namun saya mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena selepas mendapati pintu utama rumah terbuka dengan terdapat kesan umpilan di bahagian tombol pintu.

“Saya terus masuk ke dalam rumah dan terkejut melihat keadaan rumah berselerak sebelum membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati beberapa barang berharga dalam rumah telah hilang, termasuk kamera kerja saya,” katanya.

Mohd Zamri membuat laporan polis dan siasatan polis turut mendapati terdapat kesan cap jari di beberapa sudut rumahnya.

Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");