Jenayah

Rumah ibu Speaker dipecah masuk

Subang Jaya: Lima perompak bersenjatakan parang memecah masuk rumah kediaman ibu bapa Speaker Kerajaan Negeri Selangor Hannah Yeoh Tseow Suan di USJ di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, bapa dan adik lelaki kepada Adun Subang Jaya itu diikat suspek yang memakai topeng ski dan bersarung tangan.

Hannah Yeoh dalam akaun Twitter miliknya memberitahu, ibu, pembantu rumah, nenek saudara dan anak saudara perempuannya dipaksa menutup kepala masing-masing dengan selimut.

“Mereka memakai sarung tangan dan topeng. Ayah dan adik turut diikat. Ibu saya, pembantu rumah, dan anak saudara semuanya dipaksa menutup kepala mereka dengan selimut sementara penjenayah menggeledah seluruh rumah selama kira-kira 15 hingga 20 minit,” tulisnya.

Beliau berkata, sebelum itu, adik lelakinya leka mengemas halaman rumah sebelum lima lelaki terus menyerbu masuk dan mengacukan parang.

Suspek kemudian menggeledah rumahnya sebelum melarikan sejumlah wang tunai, barang kemas, pelbagai jenis minuman keras dan beberapa kotak sarang burung.

Difahamkan, kumpulan penjenayah itu melarikan diri menaiki kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Tan Ah Chua ketika dihubungi mengesahkan kejadian jenayah itu.

Menurut Tan, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 pagi sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke rumah ibu bapa wakil rakyat itu untuk membuat pemeriksaan dan siasatan.

“Polis kini berusaha memburu semua suspek terbabit yang dipercayai kerap melakukan jenayah rompakan berkawan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");