Sukan Hari Ini

Sathia bakal dipecat?

Kuala Lumpur: Pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan mungkin menjadi mangsa pertama dipecat dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, berikutan prestasi kurang menyerlah pasukannya.

Kekalahan kali keempat berturut-turut skuad The Gladiators dalam tiga aksi Liga Super dan terbaru, saingan Piala FA, dikhabarkan mengundang rasa kurang senang pihak pengurusan.

Menurut sumber dalaman, kekalahan 0-3 kepada T-Team antara punca utama yang mendorong kepada keputusan drastik terhadap Sathianathan itu, bertujuan mengembalikan semula kegemilangan pasukan naib juara Piala Malaysia 2012 itu.

“Pihak pengurusan tidak berpuas hati dengan keputusan dicapai Sathianathan, biarpun sudah banyak berbelanja bagi mendapatkan beberapa pemain baru musim ini.

“Kedudukan ATM di dasar liga tanpa sebarang mata amat merisaukan. Untuk itu, kemungkinan besar barisan kejurulatihan akan ditukar untuk mengubah nasib pasukan,” kata sumber itu yang enggan mendedahkan namanya kepada Arena Metro, semalam.

ATM yang berwajah baru musim ini, diperkuatkan dengan kehadiran bintang Piala Dunia dari Honduras Jerry Nelson Palacios di samping tujuh muka baru membabitkan Obinna Nwaneri, Abdulafees Abdulsalam, Norshahrul Idlan Talaha, Shukur Jusoh, Razi Effendi Suhit, Azmeer Yusof dan Fadzli Saari.

Sementara itu, Sathianathan ketika dihubungi mengesahkan berjumpa dengan pihak pengurusan semalam, namun perjumpaan itu bukan untuk memecatnya sebaliknya beliau dan pemain diberi teguran agar meningkatkan persembahan pada aksi berikutnya.

“Saya tidak tahu-menahu mengenai khabar angin yang mengaitkan saya akan dipecat. Tapi, jika itu keputusan mereka, saya terima saja.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan pasukan. Selepas pertemuan petang tadi (semalam), seluruh pemain dan pegawai pasukan sudah faham mengenai apa yang perlu dilakukan dan mereka berjanji untuk perbaiki prestasi,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");