Membawang Hari Ini

Selfie Suara Kubur papar nilai kemasyarakatan

NAMA pengarah berketurunan India, M Subash, bukan lagi asing dalam pembikinan filem tempatan terutamanya karya-karya Melayu.

Antara hasil sentuhannya termasuk Pensil, Syirik, Sumpahan Puaka, Jomlah C.I.U.M dan CCTV terbitan Genius Parade Sdn Bhd.

Untuk tahun ini, pengarah muda yang dikenali nama Islam Abdul Mannaan Abdullah ini mempertaruhkan Selfie Suara Kubur.

Bakal ditayangkan mulai 23 April ini, Pengarah Harapan dan Pelakon Harapan Lelaki (filem Pensil), Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM21) ini kekal menerapkan nilai-nilai kemasyarakatan di dalam filemnya.

Mengangkat pelakon veteran Mak Jah, sebagai tonggak dan penggerak utama penceritaan, karya ini bukan filem yang mementingkan nilai komersial, namun penghargaan kepada orang seni yang banyak berjasa dalam industri lakonan.

“Untuk filem ini, hampir keseluruhan babak hanya melibatkan Mak Jah sahaja. Ingin saya tekankan, filem ini tidak mementingkan nilai-nilai komersial dengan meletakkan barisan pelakon cantik dan popular.

“Cukup dengan penampilan Mak Jah, pelakon serba boleh dan mempunyai pengalaman luas dalam lakonan. Saya berpuas hati dengan lakonan, komitmen dan penyampaiannya menerusi filem ini.

“Memandangkan golongan veteran semakin disisihkan daripada senarai filem, saya terdetik untuk mengangkat mereka semula apatah lagi Mak Jah adalah antara pelakon veteran yang saya kagumi,” katanya lagi.

Tambah Subash, dalam filem ini, Mak Jah bukan sahaja bertindak sebagai pelakon, malah kebolehan menyanyi dan menari juga turut diselitkan sebagai hiburan kepada penonton.

“Sebenarnya, saya melihat senario pelakon veteran kini semakin kurang mendapat tempat dalam bidang lakonan meskipun memiliki pengalaman luas.

“Jadi, saya terpanggil untuk menghasilkan filem untuk golongan ini dan Mak Jah adalah percubaan pertama. Selepas ini, saya akan mengetengahkan pelakon veteran lain, Ruminah Sidek, menerusi filem Jendela sempena sambutan Hari Ibu tidak lama lagi.

“Perlu kita ingat, sumbangan mereka banyak dalam industri dan sewajarnya mereka mendapat tempat dan diberi lebih banyak peluang untuk meneruskan kehidupan sebagai anak seni. Saya lebih suka bekerjasama dengan golongan veteran kerana mereka bekerja dengan

ikhlas dan tidak ‘demand’ dalam soal bayaran,” katanya lagi.

Mesej berguna kepada ibu bapa

Filem ini mengisahkan Mak Jah yang sering diganggu suara kanak-kanak yang bermain-main dalam dan luar rumahnya.

Selain diganggu, Mak Jah juga mengalami kejadian pelik yang lain seperti makanan di dapurnya tiba-tiba berserakan, dinding di dalam biliknya diconteng dengan lukisan pelik sedangkan dia hanya tinggal berseorangan di rumahnya.

Pada masa sama, Mak Jah pernah terlihat beberapa lelaki datang ke kawasan semak di belakang rumahnya untuk membuang dan menanam sisa-sisa bahan buangan.

Walaupun filem ini bergenre seram dan misteri, namun Subash memberitahu, ada mesej utama yang ingin disampaikan kepada masyarakat terutamanya golongan ibu bapa.

“Sejak akhir-akhir ini, saya amat sedih dan terkilan apabila melihat kes kanak-kanak hilang dan dibunuh kejam.

“Jadi, idea itu saya terapkan dalam filem ini agar ibu bapa lebih peka dan berhati-hati dengan pergerakan anak-anak mereka. Malang tidak berbau dan boleh jadi, kejadian yang tidak diingini itu akan berlaku sekelip mata sahaja.

“Filem ini mempunyai mesej yang tinggi dan memberi gambaran untuk kita saling memberi perhatian kepada golongan cilik. Apa yang saya nampak, golongan ibu bapa kini kurang kepekaan terhadap anak-anak dengan membiarkan mereka bermain seorang diri tanpa ditemani golongan dewasa,” katanya.

Memilih tajuk Selfie Suara Kubur, ia pilihan terbaik buat produksi, Genius Parade Sdn Bhd, sekali gus memberi persoalan kepada penonton mengenai penceritaannya.

“Kami memilih perkataan ‘selfie’ kerana ianya agak popular disebut buat masa kini manakala Suara Kubur pula lebih kepada tangisan kanak-kanak,” jelasnya lagi.

Filem Melayu hilang cerminan?

Terkenal sebagai pengarah filem bajet kecil, Subash memberitahu, filem ini turut menelan kos produksi RM300,000.

Walaupun ia hanya dianggap sebagai filem berskala kecil, namun Subash berharap agar mesej yang disampaikan itu berjaya menarik minat penonton untuk melangkah ke pawagam.

“Saya menyedari keadaan industri buat masa kini dan saya tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi, cukup sekadar ianya diterima oleh penonton.

“Namun, saya tetap berharap agar kutipan filem ini melebihi kos produksi, namun tidaklah sehingga mencecah jutaan ringgit. Cukup sekadar RM500, 000, ia sudah menggembirakan saya.

“Jika melebihi sasaran asal, saya bersyukur. Insya-ALLAH sekiranya kutipan itu melebihi jangkaan, ia memberi semangat kepada saya untuk menghasilkan filem lebih baik lagi di masa akan datang,” ujar pengarah kelahiran Bukit Besi, Dungun Terengganu ini.

Bercerita mengenai proses penggambaran dan suntingan, filem ini tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan.

“Untuk filem Pensil, saya hanya mengambil masa enam hari untuk proses penggambaran dan Selfie Suara Kubur hanya empat hari sahaja.

“Kebanyakan lokasi adalah di sekitar kawasan Teluk Panglima Garang dan Banting. Saya memulakan proses penggambaran itu pada penghujung Disember hingga Januari.

“Selain Mak Jah, saya juga menggunakan khidmat pelakon tambahan seramai 10 orang untuk memantapkan lagi jalan cerita,” katanya.

Selain barisan filem-filem Melayu, Subash juga pernah menghasilkan filem Mandarin bergenre komedi seram, You Believe In Ghost?.

Menurut Subash, sebagai rakyat Malaysia yang membesar di kalangan tiga bangsa utama, dia amat tertarik dengan budaya dan nilai-nilai kemelayuan.

“Walaupun saya berbangsa India, namun saya pernah bersekolah di sekolah jenis cina. Selain itu, saya memiliki ramai rakan di kalangan Melayu, jadi saya sudah tahu dan sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu.

“Saya ada keluarga angkat orang Melayu dan sering kali makan masakan mereka. Nenek angkat saya akan suapkan makanan kepada saya.

“Namun, apa yang saya lihat kini, filem Melayu tempatan sudah hilang daripada cerminan cara hidup masyarakat dahulu kala. Semakin lama, budaya mereka semakin hilang dan tidak ditonjolkan dalam filem. Sebab itulah saya terus mengekalkan nilai-nilai ini dalam filem saya dan ianya telah diterapkan sejak filem Pensil lagi,” jelas Subash.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");