Berita Hari Ini

Strategi, keutamaan RMK-11 bakal dibentang 21 Mei

JOHOR BAHRU – Strategi dan keutamaan bagi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) bakal dibentangkan di Parlimen pada 21 Mei depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata strategi dan keutamaan itu, yang kini dalam proses akhir, akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan.

Sebelum itu, segala maklum balas daripada kesemua kementerian akan diambil kira dan disusun kembali sebelum dibentangkan kepada Kabinet, kata Abdul Wahid kepada pemberita selepas melepaskan peserta ‘Jelajah Johor’, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status perancangan RMK-11 dan projek-projek yang bakal terlibat di bawah pelaksanaannya.

“Kita telah adakan perjumpaan dengan kerajaan-kerajaan negeri termasuk kerajaan negeri Johor dan semua yang dibangkitkan dalam sesi tersebut, kita ambil kira.

“Memang kesemua negeri mempunyai senarai keutamaan masing-masing, jadi ia penting bagi kita lalui satu proses mengenal pasti keutamaan yang boleh kita laksanakan mengikut bajet kita yang agak terhad,” kata Abdul Wahid.

Abdul Wahid berkata bagi mengenal pasti sama ada projek-projek yang dicadangkan itu memberi manfaat kepada rakyat atau tidak, kaedah indeks kreativiti akan digunakan.

“Satu kaedah yang kita perkenalkan untuk RMK-11 adalah penggunaan kaedah kreativiti indeks, yang mana kita perlukan kerajaan-kerajaan negeri dan kementerian-kementerian untuk buat penilaian apakah manfaat yang bakal diperoleh dan kita bahagikan manfaat tersebut kepada kos pelaksanaan projek tersebut.

“Jadi ini merupakan yang disebutkan sebagai kreativi indeks, yang akan menjadi pengukur untuk kita menilai antara satu projek dengan satu projek yang lain,” katanya.

Beliau berkata dalam RMK-11, projek-projek yang banyak memberi manfaat kepada rakyat akan diutamakan dan manfaat itu akan dinilai seperti contoh dari segi segi peningkatan ekonomi dan peningkatan pendapatan isi rumah rakyat. – Bernama

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");