Jenayah

Tabung masjid kena kopak

SENAWANG – Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang, di sini menjadi mangsa penjenayah apabila dua tabung duit di masjid itu dipecahkan.

Kejadian disedari jemaah masjid yang datang untuk menunaikan solat Zuhur apabila melihat dua tabung yang diletakkan di bahagian dinding pintu masuk masjid telah terkopak.

Pengerusi masjid, Zulkifli Muhamad berkata, dia mendapat maklumat daripada bilal masjid yang memberitahu tabung berkenaan sudah pecah dan kesemua duit di dalamnya lesap, dipercayai dicuri.

“Tidak pasti siapa yang melakukannya. Tapi sebelum kejadian ini, saya difahamkan ada penduduk berhampiran ternampak dua lelaki berusia lingkungan 20-an menaiki motosikal datang ke masjid kira-kira jam 12.30 tengah hari,” katanya.

Dia bagaimanapun tidak pasti jumlah wang yang terdapat dalam tabung terbabit, namun duit di dalamnya telah dikumpul sejak Jumaat lalu, sehari sebelum kejadian.

“Tabung ini merupakan antara 10 tabung tambahan yang diletakkan di masjid ini sejak tahun lalu bagi memudahkan jemaah untuk bersedekah,” katanya di sini, semalam.
Zulkifli berkata, dia kecewa apabila ada orang yang mengambil kesempatan mencuri hak masjid.

“Kita letak tabung ini di pintu masuk bangunan masjid supaya memudahkan jemaah bersedekah, terutama ketika solat Jumaat, tapi jadi sasaran penjenayah pula.

“Kita memang buat konsep masjid terbuka bagi memudahkan orang ramai datang untuk singgah beribadat, tapi bila jadi macam ini, kita akan ambil langkah berhati-hati selepas ini,” katanya yang bercadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan pada masa akan datang.

Zulkifli bagaimanapun berkata, Mac tahun lalu juga pihaknya berjaya menangkap seorang lelaki warga asing yang cuba mencuri tabung masjid berkenaan dengan menggunakan dawai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Siasatan dilakukan berdasarkan maklumat diperolehi tentang remaja dan kenderaan digunakan suspek.

“Malah, kita juga dalam perjumpaan dengan pihak surau atau masjid supaya memastikan tabung kutipan tidak dibiarkan begitu sahaja dan disimpan di tempat selamat,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");