Sukan Hari Ini

Terbuka Malaysia: Wozniacki mara pusingan ke-2; Jawairiah terkandas beregu

KUALA LUMPUR: Pilihan utama, Caroline Wozniacki melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 selepas menumpaskan pemain China, Wang Yafan, di sini hari ini.

Pemain Denmark itu mudah menjinakkan Wang 6-3, 6-1 pada perlawanan pusingan pertama perseorangan wanita di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC).

Wozniacki selaku pemain nombor lima dunia akan berdepan seorang lagi pemain China, Zhu Lin yang menumpaskan pemain Ukraine, Yuliya Beygelzimer 6-4, 4-6 dan 6-3 pada perlawanan pusingan pertama hari ini.

“Saya belum pernah menentang Zhu Lin. Saya hanya berharap dapat melakukan yang terbaik untuk menang perlawanan seterusnya pada pusingan kedua. Cuaca di sini agak panas dan lembap.

“Saya perlu minum banyak air untuk memastikan saya mempunyai tenaga untuk mengalahkan lawan saya. Ini kemenangan pertama saya di Malaysia kerana sebelum ini, saya tewas dalam pusingan pertama,” kata Wozniacki kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Wozniacki merangkul empat gelaran perseorangan pada Sirkit Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), 22 gelaran perseorangan dan dua gelaran beregu dalam Persatuan Tenis Wanita (WTA).

Pada perlawanan lain hari ini, pemain Taiwan selaku juara Terbuka Malaysia BMW 2012, Hsieh Su-Wei mara ke pusingan kedua selepas menundukkan pemain pilihan ketiga dari Australia, Casey Dellacqua 7-5, 2-6 dan 6-3.

Hsieh akan bertemu Misa Eguchi selepas pemain Jepun itu menumpaskan pemain Belgium, An-Sophie Mestach 2-6, 7-5 dan 6-3.

Terdahulu, cabaran Malaysia pada kejohanan itu berakhir selepas pasangan wildcard negara, Jawairiah Noordin dan Theiviya Selvarajoo tewas kepada Xinyun Han (China) dan Junri Namigata (Jepun) 6-2 dan 6-0.

Jawairiah-Theiviya bermula baik menentang lawan yang lebih berpengalaman itu, namun Namigata dan Han berjaya mengambil kesempatan daripada kekurangan pengalaman pasangan Malaysia itu untuk menang set pertama.

“Kami menampilkan persembahan yang baik apabila beraksi buat pertama kali sebagai pasangan beregu. Ia pengalaman yang menarik dan kami sudah mencuba yang terbaik ketika menentang lawan yang berada di ranking lebih tinggi dan lama bersama sebagai pasangan beregu berbanding kami.

“Kami perlu lebih banyak beraksi bersama dan lebih banyak berlatih serta berusaha keras untuk memperbaiki kedudukan kami sebagai pasangan beregu,” kata Theiviya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");