Membawang Hari Ini

The Gunman sehebat Taken

SEPERTIMANA percaturannya meletakkan Liam Neeson sebagai tunjang utama menerusi Taken, pengarah tersohor Perancis, Pierre Morel kembali mempertaruhkan strategi sama menerusi filem terbaharu arahannya, The Gunman.

Seakan sudah menjadi trademarknya memilih hero lama, kali ini Morel menampilkan aktor tersohor, Sean Pean untuk beraksi menerusi filem aksi berdasarkan adaptasi novel The Prone Gunman, hasil tulisan Jean-Patrick Manchette itu.

Selain memilih hero yang berusia separuh abad, Morel juga masih mengekalkan identiti pengarahannya yang tersendiri menerusi konsep dan jalan cerita yang dibawa.

Jika menerusi Taken, Morel mengangkat isu jenayah penculikan di Perancis, tidak kurang hebatnya menerusi The Gunman yang membawa penonton mendalami isu politik dan jenayah di negara bergolak, Congo.

Mengambil latar tahun 2006, kisah bermula dengan sekumpulan bekas tentera sekutu Eropah yang telah dibayar oleh pihak yang berkepentingan untuk membunuh menteri di negara itu.

Jim Terrie mengambil tanggungjawab itu tanpa rasa bersalah dan kemudiannya lari dari negara tersebut dengan meninggalkan kekasihnya, Annie (Jasmine Trinca).

Selepas lapan tahun berlalu, Terrie kembali ke Afrika dan bekerja sebagai sukarelawan di situ, namun satu serangan daripada sekumpulan lelaki kulit hitam, membuka kembali sejarah lampaunya.

Sedar diri menjadi buruan, Terrie terpaksa mengembara ke beberapa buah negara untuk mencari dalangnya!

Dari awal penceritaan, filem ini sememangnya sarat dengan aksi dan thriller sehingga ada beberapa babak pembunuhan yang agak ngeri untuk ditonton.

Sebati dengan trademark Morel, filem ini juga sukar dijangka kerana setiap plot dan naratif cerita punya ‘twist’ yang berbeza. Malah setiap aksi yang dihidangkan punya skil tersendiri.

Dengan elemen-elemen tersebut, ia secara tidak langsung menimbulkan unsur suspens yang berpanjangan dan membuatkan penonton terus teruja untuk menyaksikan filem ini sehingga ke akhir cerita.

Pengembaraan di beberapa buah negara dengan plot yang berbeza turut menjadi kelebihan buat filem ini sekaligus meletakkan Morel sebagai pengarah filem aksi thriller yang cukup disegani.

Tidak hanya tertumpu pada aksi semata-mata, The Gunman turut menyelitkan konflik percintaan antara Terri dan Annie, Sudah menjadi lumrah filem Hollywood, filem ini turut memuatkan babak romantis antara kedua watak, namun ia bukanlah pelaris utama filem yang bermodalkan US$40 juta (RM130 juta)

Aura Sean Pean

Meskipun sudah beberapa tahun tidak muncul di layar perak, namun ia bukanlah pengukur terhadap kecemerlangan lakonan Sean Pean.

Pernah menyandang gelaran Pelakon Terbaik untuk Anugerah Academy menerusi filem Mystic River (2003) dan Milk (2008), bintang yang berusia 55 tahun ini terus menampilkan kehebatannya menerusi The Gunman.

Bergelar hero di usia separuh abad tentulah bukan perkara yang mudah buat aktor kelahiran Los Angeles ini, apatah lagi perlu membintangi filem aksi.

Tidak mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan pengarah, akui Pean, dia cuba melakukan yang terbaik untuk filem ini.

Nyata itu bukanlah omongan kosong kerana penampilan Pean dalam filem ini tetap dinantikan peminatnya, meskipun tetap ada suara-suara sumbang yang mengkritiknya.

Tidak perlu dibandingkan dengan pelakon aksi yang sedia ada, Pean sudah mampu mengalaskan wataknya sebagai Jim Terrie dengan sebaik mungkin. Staminanya mungkin tidak sehebat di usia muda, namun kesungguhannya dapat dilihat menerusi semangat dan ekspresi wajah yang ditonjolkan.

Sebagai Terrie, Sean tidak perlu kelihatan ‘macho’ dan gagah sepanjang masa kerana watak tersebut turut berdepan masalah kesihatan yang secara tidak langsung dapat menutup kelemahannya yang ada.

Selain Sean, penampilan khas Idris Elba, Ray Winstone, Mark Rylance, dan Javier Bardem menjadikan The Gunman lebih lengkap meskipun hanya tampil untuk beberapa babak.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");