Isu Panas

Tiada Kata Sepakat Dalam Taklimat Hudud PAS

PETALING JAYA: Satu taklimat khas oleh PAS mengenai rang undang-undang Hudud Kelantan yang mencetuskan kontroversi gagal menarik perhatian pemimpin Pakatan Rakyat, apabila difahamkan ia tidak mendapat kata sepakat sebahagian mereka yang hadir.

Bagaimanapun, cadangan pindaan enakmen Kanun Jenayah Syariah mungkin akan diteruskan apabila sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan diadakan selama tiga hari bermula Isnin depan.

Pindaan itu membuka jalan kepada PAS untuk melaksanakan hudud di negeri itu yang diterajui selama 23 tahun.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau tidak melihatnya sebagai sebab kukuh untuk menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu.

Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan segelintir pemimpin Pakatan Rakyat bahawa rang undang-undang itu kelihatan seperti undang-undang baharu.

“Ianya tidak benar kerana hanya terdapat beberapa perubahan dalam kandungan asalnya. Kita akan memaklumkan pandangan mereka kepada Menteri Besar,” katanya.

PAS menghantar dua exco negeri iaitu Datuk Dr Mohd Fadzli Hassan dan Datuk Nassaruddin Daud untuk memberi taklimat mengenai cadangan pindaan enakmen itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada Khamis.

Sebelum itu, para pemimpin PKR dan DAP masih tidak jelas mengenai cadangan pindaan tersebut.

Mereka hanya mengetahuinya sedikit menerusi beberapa kenyataan media yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang menghadiri mesyuarat itu berkata, dua wakil PAS itu diminta untuk membawa pandangan berkenaan kepada kerajaan Kelantan dan jawatankuasa PAS Pusat, yang akan mengadakan mesyuarat di Kota Bharu selepas solat Jumaat hari ini (Jumaat).

“Perkara positif di sini ialah proses perbincangan masih diteruskan. Sebelum ini, adalah samar-samar tentang apa yang berlaku dengan rang undang-undang itu,” kata Azmin yang juga Menteri Besar Selangor.

Beberapa sumber berkata, sebilangan mereka yang terlibat dalam mesyuarat itu menolak rang undang-undang berkenaan yang disifatkan sebagai satu “draf baharu’ berbanding sebuah pindaaan kepada rang undang-undang 1993.

“Kami mahu mereka membuat pengubahsuaian semula tetapi ia akan merumitkan kerana hanya tinggal beberapa hari bekerja sahaja lagi,” kata sumber.

Antara mereka ialah Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, yang menggesa PAS untuk mempertimbangkan semula mengenai cadangan pindaan enakmen itu.

“Ini merupakan satu rang undang-undang yang baharu, bukan perubahan kecil,” katanya.

Gobind berkata, DAP menentang cadangan pindaan enakmen itu dan mengingatkan PAS bahawa pelaksanaan hudud bertentangan dengan prinsip perlembagaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Cadangan pindaan enakmen itu antaranya mengenakan hukuman rotan terhadap enam kesalahan jenayah utama termasuk murtad, berzina, pengambilan alkohol, fitnah, mencuri dan merompak serta qisas yang meliputi bunuh dan menyebabkan kecederaan.

Rang undang-undnag itu dijangka mendapat laluan mudah kerana kesemua Ahli Undangan Negeri (Adun) Umno sedia memberi sokongan terhadapnya.

Bagaimanapun, pelaksanaan hudud di Kelantan hanya akan memburukkan lagi hubungan PAS bersama rakan sekutunya DAP dan PKR.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");