Isu Panas

Zahid ‘lesen besar’ Anwar ke Parlimen

SHAH ALAM – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa mempunyai ‘lesen besar’ untuk membenarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara atas sabitan kes liwat untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada 9 Mac hingga 9 April ini.

Menurut kenyataan bersama peguam Anwar, N Surendran dan Latheefa Koya hari ini menegaskan tidak timbul keraguan dalam soal tersebut kerana Ahmad Zahid mempunyai ‘kata pemutus’ dan ia tidak bercanggah dengan Akta Penjara 1995.

“Cadangan Ahmad Zahid bahawa Lembaga Pengampunan yang mesti membuat keputusan terlebih dahulu sebelum membawa Anwar ke Parlimen adalah benar-benar tidak masuk akal.

“Ia bukan tanggungjawab atau bidang kuasa Yang Di-pertuan Agong (YDPA), Peguam Negara atau Lembaga Pengampunan untuk membawa Anwar dari penjara ke Parlimen kerana hanya Ketua Pengarah Penjara mempunyai kuasa undang-undang untuk melepaskan Anwar untuk menghadiri Parlimen,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mempunyai ‘kuasa pemutus’ untuk membenarkan ketua umum PKR itu menghadiri sidang Parlimen, sebaliknya Lembaga Pengampunan, peguam negara dan speaker Dewan Rakyat mempunyai kuasa tersebut.

Status permohonan Anwar untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat hanya akan diketahui selepas YDPA membuat keputusan berhubung petisyen pengampunan yang dikemukakan keluarga ketua pembangkang itu.

Mengulas lanjut, kenyataan bersama itu turut menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai mengejutkan, tidak boleh difahami dan bercanggah dengan Akta Penjara 1995.

“Ini jelas daripada Seksyen 31 Akta Penjara 1995 yang mengatakan ketua pengarah mempunyai kuasa untuk mengarahkan orang yang menjalani hukuman penjara yang akan diambil kepada mana-mana tempat jika terdapat alasan yang munasabah untuk berbuat demikian.

“Ketua pengarah penjara dan jabatan penjara pula di bawah kawalan dan tanggungjawab Menteri Dalam Negeri manakala Seksyen 13 (1) Akta Penjara adalah jelas bahawa ketua pengarah penjara “bertanggungjawab” kepada menteri untuk pematuhan yang wajar akan peruntukan Akta Penjara 1995,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, peguam Anwar menyeru Ahmad Zahid dan kerajaan supaya menghormati institusi Parlimen dan sistem demokrasi negara ini dengan membenarkan anak guamnya itu untuk menghadiri sidang Parlimen tersebut.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");