Jenayah

30 kali cirit-birit

Klang: “Sejak tengah hari semalam (kelmarin) hingga ke hari ini (semalam) hampir 30 kali saya cirit-birit sehingga badan semakin lemah,” kata Ammar Aminuddin, 22, salah seorang daripada mangsa yang cirit-birit di pusat tahfiz Darul Tahfiz Ummul Qura, Jalan Kebun, dekat sini.

Selain Ammar, 79 pelajar termasuk guru mengalami cirit-birit sehingga mereka dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, sejak Khamis lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Nasi lemak dipercayai menjadi punca kejadian itu, malah Pengetua pusat tahfiz berkenaan Abd Rasul Rahman, 61, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) disebabkan masalah itu selain terdapat beberapa penyakit lain.

Ammar berkata, pada Khamis malam mereka menikmati nasi lemak dan keesokan pagi selepas Subuh perutnya mula sakit.

“Pada mulanya saya sangka cirit-birit biasa, tetapi selepas semakin kerap serta pelajar dan guru lain pun mengalami sakit sama, kami dibawa ke klinik.

“Keracunan makanan yang kami alami semakin teruk sehingga dibawa ke sini (HTAR) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ditemui di sini, semalam.

Pesakit lain Mohd Hafiz Mohd Akashah, 14, berkata, dia cirit-birit mulai petang kelmarin sehingga fizikalnya semakin lemah.
Katanya, kejadian itu kali pertama berlaku dan berharap mereka semua segera sembuh.

Sementara itu, Timbalan Pengetua pusat tahfiz berkenaan Marzuki Ismail, 42, berkata, pelajar mengadu mengalami muntah-muntah, cirit-birit dan demam sejak tengah hari kelmarin dipercayai makan nasi lemak sebelum dibawa ke klinik berhampiran.

Katanya, selepas mendapatkan rawatan di klinik itu ada pelajar dibawa ke HTAR untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala ada antara mereka dibenarkan pulang.

“Semalam (kelmarin) 70 orang dimasukkan ke wad manakala hari ini 10 orang lagi. Sebenarnya mereka dibenarkan pulang itu masih mengalami simptom sama dan hari ini (semalam) mereka dibawa ke sini untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, empat orang mengalami keracunan makanan serius sehingga fizikal lemah dan diletakkan di Zon Merah.

Katanya, sehingga semalam semua masih ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan berharap kejadian itu dijadikan iktibar kepada semua.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");