Perak Hari Ini

Cadangan Tambah Klausa Peraturan Perintah Tetap DUN Perak :Devamany

IPOH: Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap hari ini telah mencadangkan untuk penambahan klausa bagi pemakaian pakaian rasmi nombor satu dalam peraturan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Perak.

Pengerusinya, Datuk Seri S.K Devamany berkata, syor berkenaan telah dibuat bagi memastikan bahawa kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mematuhi etika pemakaian ketika perasmian persidangan DUN Perak.

“Kita mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Perintah-perintah tetap iaitu kita hendak mengubah perkara-perkara yang kita rasakan perlu dikaji semula.

“Saya telah membentangkan kertas di dalam mesyuarat Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap untuk pemakluman dan pertimbangan ahli jawatankuasa mengenai penambahan klausa dalam Perintah tetap semasa istiadat perasmian persidangan DUN Perak,” katanya.

Beliau yang merupakan Speaker Dewan Perak berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

PERAK TODAY 2

Ujarnya, cadangan tersebut dibuat susulan tindakan 26 wakil rakyat pembangkang yang memakai pakaian berwarna hitam ketika menghadiri majlis perasmian sidang DUN lalu yang dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Ini kerana pada hari itu, apabila mereka memakai pakaian hitam, tidak ada satu klausa di dalam Perintah Tetap yang memberitahu secara khusus mengenai etika pemakaian untuk perasmian.

“Jadi kita telah mencadangkan supaya membuat penambahan iaitu pakaian ADUN sempena majlis istiadat perasmian persidangan pertama bagi penggal baru hendaklah memakai pakaian rasmi nombor satu,”tegas beliau.

Tambahnya, cadangan tersebut akan dibentangkan sekali lagi dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan sebelum diusulkan dalam sidang DUN nanti.

“Kita hanya mampu mencadangkan, tetapi keputusannya akan dapat dicapai selepas ianya diusul dan dibahaskan dalam sidang DUN,” kata beliau lagi.

Mesyuarat Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap telah dihadiri oleh ahlinya iaitu Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong), Abdullah Fauzi (BN-Kampung Gajah), Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu), Mohamad Daud Mohamad Yusoff (BN-Selama), Wong Ka Woh (DAP-Canning) dan S. Kesavan (PKR-Hutan Melintang).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");