Jenayah

Daftar hidup, daftar mati

Sungai Buloh: “Isnin ini (esok) saya bercadang mendaftar nama bayi sulung saya di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun takdir menentukan segala-galanya saya juga perlu mendaftar kematian ibu, bapa dan abang,” kata anak lelaki mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Batu 19 Sungai Buloh-Kuala Selangor, malam kelmarin.

Anak mangsa yang enggan dikenali itu berkata, pada malam kejadian keluarganya baru pulang menziarahi bayi perempuan sulungnya yang baru lahir di kediamannya di Aman Puri, di sini.

Menurutnya, kejadian yang menimpa sembilan ahli keluarga malam kelmarin berlaku tidak sampai satu kilometer dari rumahnya.
“Kira-kira lima minit selepas pulang dari rumah saya, kakak yang terselamat dalam kemalangan itu menghubungi saya memaklumkan kejadian menimpa mereka.

“Sebaik sampai ke lokasi, ayah dan abang sudah meninggal dunia manakala ibu masih lagi bernafas ketika itu namun disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sungai Buloh di sini, pagi semalam.
Difahamkan, semua jenazah dibawa ke surau Taman Desa Moccis, di sini, untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Merbau Sempak.

Semalam, Harian Metro melaporkan tiga maut manakala empat cedera termasuk dua kanak-kanak selepas kereta dinaiki mereka bertembung di Jalan Sungai Buloh berhampiran simpang Saujana Utama.

Seorang daripada mangsa yang cedera itu meninggal di Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun dari arah Sungai Buloh bertembung secara berhadapan dengan sebuah kereta Proton Waja dari arah Kuala Selangor.

“Siasatan polis mendapati, kereta Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu memasuki laluan bertentangan sebelum kedua-duanya bertembung.

“Akibat kemalangan itu, tiga lelaki meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang wanita kereta Myvi meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Junaidi berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Assanah Mohd Mydin, 61 tahun (pemandu Perodua Myvi), isterinya Zalehar Omar, 61 tahun, anak lelakinya Ahmad Zulhilmi Assanah, 31 tahun serta pemandu kereta Proton Waja Mohamad Hazri Kamaruzzaman, 27 tahun.

Beliau berkata, seramai enam lagi penumpang kereta Perodua Myvi iaitu seorang wanita dewasa serta lima kanak-kanak cedera.
“Isteri pemandu kereta Proton Waja bersama seorang anaknya turut cedera dan semua mereka masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");