Jenayah

Dakwa pemaju ceroboh tanah

ALOR SETAR – Lebih 100 penduduk Kampung Batu 2, Sungai Korok, di sini, mendakwa pemaju yang sedang melaksanakan projek pembinaan rumah menceroboh tanah milik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu 2, Mohd Zahir Hasan berkata, kerja pembinaan itu mula dilaksanakan sejak awal 2013.

“Sebelum ini pemaju tersebut menebang pokok hutan dan merobohkan sebuah kilang padi lama di kawasan ini.

“Awal-awal lagi sudah timbul masalah apabila jalan utama penduduk untuk keluar masuk ditutup pemaju dengan alasan mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Susulan itu, penduduk membuat beberapa laporan polis dan meminta campur tangan ahli majlis berkaitan dalam perkara tersebut.

“Selepas dimaklumkan kepada pihak berkuasa, pemaju itu membuka semula jalan utama ini untuk kegunaan penduduk.

“Tetapi timbul pula masalah lain apabila pemaju menceroboh tanah lot milik penduduk,” katanya.

Menurutnya, kerja menyukat tanah oleh pemaju juga didakwa berlaku penipuan apabila batu tanda sempadan dialihkan dari kedudukan asal.

“Mereka ubah batu yang dibina sebagai tanda sempadan dan dilonggok tanah sehingga 30 kaki (sembilan meter) dari kedudukan asal.

“Dalam kes ini mereka dipercayai menceroboh tanah penduduk tanpa kebenaran,” katanya.

Mohd Zahir berkata, selepas masalah itu berlaku, pemaju menghantar pula notis kepada penduduk mengarahkan supaya mengosongkan kawasan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan.

“Mereka hantar notis kepada penduduk dan akan membayar pampasan RM10,000 bagi setiap rumah.

“Penduduk tidak setuju dengan bayaran itu kerana tidak setimpal,” katanya.

Menurutnya, penduduk setempat juga sebulat suara tidak akan mengosongkan kawasan itu kerana ia adalah tanah warisan yang diduduki sejak puluhan tahun lalu.

Difahamkan, masalah demi masalah berlarutan sehingga menyebabkan sistem perparitan tersumbat dan jalan utama penduduk rosak.

“Pada 26 Mac lalu, satu tiang elektrik patah akibat dilanggar sebuah lori tanah. Penduduk terputus bekalan elektrik hampir enam jam.

“Keesokan harinya pula, wayar elektrik berdekatan rumah penduduk sekali lagi dipercayai sengaja dirosakkan walaupun ia tiada kaitan dengan projek pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan tiga rumah penduduk mengalami kerosakan peralatan elektrik berikutan lebihan aliran arus elektrik.

“Saya harap pihak berkuasa dapat bantu penduduk dan campur tangan dalam masalah ini,” katanya.

Sementara itu, pemaju syarikat berkenaan ketika dihubungi enggan mengulas.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");