Jenayah

Dugaan bertimpa buat si bapa

ALOR LINTANG – Dugaan bertimpa. Demikian keadaan dialami seorang bapa yang kehilangan dua anak dalam tempoh dua minggu.

Abdul Aziz Said, 69, berkata, dua minggu lalu, anak kedua, Nur Hafizah, 40, meninggal dunia akibat barah pangkal rahim dan semalam, dia dikejutkan pula dengan kematian anak bongsu, Ahmad Lufti, 29, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Menurutnya, dia diberitahu Ahmad Lufti terbabit dalam kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Alor Lintang, tengah hari semalam.

“Saya bergegas ke bilik mayat selepas diberitahu jenazah anak saya dibawa ke situ. Ahmad Lutfi meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori.

“Difahamkan, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Rumah Awam Kos Rendah Kampung Raja selepas membaiki sebuah komputer milik pelanggan di Kampung Alor Lintah,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Daerah Besut, semalam.

Ahmad Lufti, anak bongsu daripada enam beradik dan masih bujang, mengusahakan kedai komputer dan fotostat tidak jauh dari rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 12.30 tengah hari itu, Ahmad Lufti memandu kereta Proton Iswara Aeroback berseorangan dari arah Jertih ke Kampung Raja.

Bagaimanapun katanya, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mahu memotong di atas jambatan lalu masuk ke laluan sebelah dan melanggar sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala. Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dibawa ke Bilik Mayat Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, pemandu lori (Mohd Ramzi Ismail, 40) hanya cedera ringan, manakala kelindannya (Tuan Azrul Amiruddin Tuan Azmi, 23) patah tulang rusuk. Kedua-dua mereka beralamat di Kuala Terengganu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");