Laporan Eksklusif

Inilah Sebenarnya Asean – Najib

KUALA LUMPUR: Inilah Asean sebenarnya, ketika ini dan di sini, dengan proses pembinaan komuniti dan integrasi ekonomi disuburkan untuk menjadikan Asean yang inklusif, berani dan melihat ke depan untuk perkumpulan itu dan warganya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Sidang Kemuncak Asean ke-26 di sini, Isnin, menekankan tahun 2015 akan menjadi sejarah kejayaan Asean apabila visi mewujudkan komuniti tunggal menjadi kenyataan menjelang akhir tahun.

“Inilah Asean sebenarnya, ketika ini dan di sini. Marilah kita bekerja bersama-sama untuk memastikan apabila kita bercakap mengenai Alaf Asia, ia juga Alaf Asean,” tegas Najib.

Beliau juga berkata, semasa Malaysia memegang keistimewaan untuk mempengerusikan Asean pada tahun yang penting untuk organisasi itu, kumpulan serantau ini perlu meneruskan usaha untuk mewujudkan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Beliau menegaskan bahawa sekarang adalah masa untuk blok 10 anggota itu mencari jalan supaya Asean menjadi dan dilihat lebih sepakat dalam politik.

“Pelabur antarabangsa sudah lama tertarik ke India dan China. Asean boleh dan wajar meletakkan dirinya sebagai ‘kuasa ketiga’ di rantau ini dan dengan kesepaduannya yang nampak dengan jelas, dapat membantu kita menjayakannya,” katanya.

Menyentuh mengenai cadangan zon waktu seragam, Najib berkata jika idea itu diterima oleh Asean untuk keseluruhan rantau itu, ia merupakan simbol perpaduan Asean, selain baik untuk perniagaan.

“Tambahan pula, potensi kita sangat besar. Kita mempunyai tenaga kerja ketiga terbesar di dunia. Kita mempunyai tenaga muda berbakat dan bilangan penduduk mahir yang semakin meningkat, yang melebihi 600 juta orang.

“Bilangan penduduk kelas pertengahan yang semakin meningkat menjadikan kita sebagai antara rantau paling dinamik dan menarik, mendorong sebuah penerbitan, pada minggu lepas, bertanyakan sama ada Asean merupakan ‘pelaburan paling panas” di Asia, katanya.

Najib juga berkata berikutan halangan perdagangan oleh Komuniit Ekonomi Asean (AEC) dimansuhkan, ia turut meliputi pengurangan tarif.

“Ia mesti meliputi pemansuhan halangan bukan tarif seperti peraturan yang terlalu membebankan yang menjejaskan perdagangan bebas dan saksama,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Asean mesti meningkatkan program untuk menyeragamkan standard, menambah pasaran modal dan penyepaduan kewangan serta mempromosi pergerakan barangan, perkhidmatan, pelaburan dan bakat secara lebih bebas antara negara.

“Hasil pembaharuan itu akan lebih transformatif,” katanya dan menambah jika dagangan sesama Asean ditingkatkan kepada 40 peratus daripada 24 peratus, ekonomi Asean akan meningkat dengan ketara kepada US$2.5 trilion setahun.

“Potensi pertumbuhan ini bermakna peningkatan ekonomi dan taraf hidup rakyat kita. Dan ‘hadiah’ itu dalam gengaman kita,” katanya.

Menyentung visi penubuhan ASEAN seperti yang diasaskan pemimpin pengasas kumpulan itu menerusi Deklarasi Bangkok, Najib berkata ia telah merapatkan hubungan penduduk di rantau itu.

“Dan, kita mesti memastikan hubungan ini terikat dan idea hebat Asean menjadi realiti secara peribadi kepada semua warga kita,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");