Perak Hari Ini

Isu Pakaian Serba Hitam:Pemuda UMNO Perak Mahu Wakil Pembangkang Dikenakan Tindakan Tegas

IPOH: Pergerakan Pemuda UMNO negeri mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang memakai pakaian serba hitam pada istiadat perasmian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pagi semalam.

Menurut Ketuanya, Hairul Anuar Mohamed Noor, wakil rakyat tersebut perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan supaya boleh diambil tindakan termasuklah penggantungan daripada memasuki dewan.

“Sikap yang dipamerkan oleh ADUN pembangkang menunjukkan mereka tiada rasa hormat dan seolah-olah tidak memberi pengiktirafan terhadap institusi raja Melayu seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Negara.

“Perbuatan mereka semalam adalah derhaka kerana ketika Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah menyarungkan ‘range galia’ buat pertama kali, mereka berpakaian serba hitam bagi melambangkan ‘perkabungan’ mereka.

“Alasan yang diberikan oleh mereka untuk bertindak seperti semalam hanyalah secara tersurat, tetapi tersiratnya menunjukkan mereka ‘mencabar’ kedudukan sultan sebagai ketua agama Islam,” katanya.

Pemuda UMNO Perak turut menyerahkan memorandum kepada Timbalan Speaker DUN, Datuk Nasarudin Hashim bagi menggesa tindakan diambil terhadap wakil rakyat pembangkang.

Tambahnya lagi, wakil rakyat pembangkang sudah beberapa kali terlepas daripada sebarang hukuman walaupun mereka melanggar undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

“Sebagai contoh, mereka bertindak ganas ketika perasmian sidang DUN pada 7 Mei 2009 hingga menyebabkan Tuanku yang ketika itu pemangku raja terpaksa menangguhkan kemasukan baginda ke dalam dewan.

“Tetapi, tiada hukuman dikenakan terhadap mereka.

“Ini adalah punca mereka bertindak mengikut kehendak hawa nafsu serakah tanpa menghormati mana-mana institusi.

“Oleh itu, kami mahu Speaker dan kerajaan negeri ambil tindakan tegas terhadap mereka,” jelas beliau.

Pergerakan itu katanya, akan menghantar memorandum kepada pihak istana meminta supaya gelaran serta anugerah yang diberikan kepada wakil rakyat pembangkang yang terlibat dilucutkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");