Berita Hari Ini

Jualan Perodua naik 30 peratus suku pertama 2015

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjual 57,200 unit kereta dalam suku pertama tahun ini yang berakhir pada 31 Mac 2015, naik 30 peratus daripada 44,024 unit pada suku yang sama 2014 berikutan permintaan kukuh terhadap model terbaharunya.

“Mac mencatatkan jualan bulanan tertinggi bagi kami dengan jangkaan bahagian pasaran 34 peratus berdasarkan kepada anggaran jumlah jualan keseluruhan industri sebanyak 65,500 unit pada Mac,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata, prestasi kukuh tersebut juga disebabkan sebahagiannya oleh permintaan tinggi bagi Axia, yang memperoleh lebih 100,000 tempahan sejak ia mula dibuka pada 15 Ogos, 2014.

Pada 31 Mac 2015, Perodua menyerahkan lebih 60,000 unit Axia.

“Kami juga percaya permintaan kukuh pada Mac adalah disebabkan pengguna mahu mendaftarkannya sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” kata Aminar.

Pendapatan selepas jualan Perodua meningkat sebanyak 14 peratus kepada RM84 juta semasa Suku-1, daripada RM73 juta dalam suku yang sama 2014, disumbang terutamanya daripada perkhidmatan penyenggaraan kenderaan serta operasi kerangka kereta dan cat.

Sementara itu, hasil daripada alat-alat ganti dan aksesori meningkat dua peratus kepada RM61.8 juta pada Suku-1 daripada RM61 juta dalam tempoh yang sama pada 2014.

Perodua yakin dalam berhati-hati dapat mencapai sasaran jualannya sebanyak 208,000 unit tahun ini susulan sokongan daripada permintaan berterusan terhadap modelnya serta promosi-promosi lain.

“Kami juga menjangka Perodua dapat mencapai sasaran hasil RM306 juta daripada perkhidmatan penyenggaraan kenderaan, minyak pelincir, operasi kerangka kereta dan cat, serta RM258.9 juta daripada perniagaan alat-alat ganti dan aksesori,” kata Aminar.

Tahun lepas, Perodua menjual 195,600 kenderaan dan mencatatkan hasil RM303.4 juta bagi operasi selepas jualan, serta RM243.7 juta bagi alat-alat ganti dan aksesori. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");