Sukan Hari Ini

Kem akhir Sukan SEA berubah lagi

KETUA Kontinjen Negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan pertukaran lokasi kem latihan akhir kontinjen negara ke Sukan SEA Singapura pada 22 hingga 24 Mei yang sebelum ini dijadualkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Shah Alam ke Hotel IOI Palm Garden Resort, Putrajaya.

Menurutnya, pertukaran tersebut dilakukan setelah timbalannya, Peter Chee melakukan tinjauan dan tidak berpuas hati berhubung beberapa perkara berkaitan dengan keadaan di universiti tersebut.

“Setelah melakukan tinjauan, kami berasa tidak berpuas hati. Bukan sahaja terhadap keadaan penginapan, malah dari segi jarak.

“Selain itu, kami turut risau tentang risiko atlet dijangkiti denggi. Oleh itu kami telah menyediakan lokasi yang lebih kondusif buat atlet iaitu di Hotel IOI Palm Garden Resort,” jelasnya selepas mengadakan perjumpaan bersama atlet sukan memanah, renang berirama, taekwondo dan ski air di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, kem latihan akhir itu dicadangkan diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dari 28 hingga 30 Mei, bagaimanapun lokasi tersebut ditukar ke Kuala Lumpur kerana terdapat perbezaan jadual pertandingan setiap jenis sukan selain isu logistik.

Sukan SEA Singapura yang bakal berlangsung pada 5 hingga 16 Jun ini mempertandingkan 37 acara termasuk memperkenalkan acara baharu iaitu ‘floorball’ yang menyerupai sukan hoki selain menggugurkan acara karate.

Mengulas lanjut, Norza ingin menekankan bahawa kem ini adalah mandatori buat kesemua kontinjen terlibat dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menggunakan khidmat beberapa fasilitator bagi mengendali kem latihan tersebut.

“Ada pihak bertanya sama ada mereka boleh menyelitkan latihan sewaktu kem tersebut, tetapi saya jelaskan kepada mereka bahawa kita ada agenda yang lebih besar iaitu memupuk semangat sebagai satu unit.

“Justeru, semua latihan perlu dihentikan sepanjang tempoh kem berkenaan untuk memberikan tumpuan pada latihan tersebut.

“Hal berkait fasilitator dan atur cara kem tersebut, saya serahkan pada MSN untuk menyediakan mereka yang mempunyai kepakaran supaya dapat memberikan taklimat kepada kontinjen negara,” ujarnya.

-Kosmo!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");