Sukan Hari Ini

Kim Her mahu julang beregu wanita

JURULATIH beregu campuran negara, Tan Kim Her yakin Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mampu menjadi beregu yang digeruni dan berada di ranking 10 terbaik dunia.

Menurutnya, melihat perkembangan positif dipamerkan pasangan tersebut dalam beberapa kejohanan sebelum ini, tidak mustahil meletakkan mereka semakin hampir untuk berada setaraf dengan gandingan beregu hebat dunia yang lain.

Bagaimanapun katanya, semua itu tidak mudah, ditambah Liu Ying baru pulih daripada kecederaan lutut selepas menjalani pembedahan.

“Kami begitu gembira dan melihat kedua-dua pemain ini mampu berada di ranking 10 terbaik dunia pada masa akan datang.

“Memang bukan mudah, tapi kita kena sahut cabaran dan berusaha bagi memastikan semua itu terjadi. Apa pun, saya dan jurulatih Chin Eei Hui akan sama-sama melihat perkembangan Hui Ling dan bagi Peng Soon pula fizikalnya perlu diperkuatkan lagi,” katanya.

Ditanya perancangannya selepas ini, bekas jurulatih beregu lelaki itu berkata, tumpuannya kini adalah memastikan pasangan tersebut dapat melayakkan diri di Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Sejak kebelakangan ini saya lihat persembahan mereka memuaskan dan harap semuanya berjalan lancar, begitu juga pasangan lain seperti Tan Aik Quan-Lai Pei Jing.

“Bagaimanapun, untuk melihat kedua-duanya layak ke Olimpik agak sukar kerana mereka perlu berada dalam ranking lapan terbaik dunia, cuma kita mengharapkan mereka saling bersaing antara satu sama lain,” katanya.

Kim Her juga berasa yakin dengan sistem sekarang yang dilihat semakin teratur kerana bukan saja bakal memberi kebaikan kepada beregu senior tetapi juga pasangan muda.

“Satu petanda yang bagus dan saya gembira melihat Tan Kian Meng diserapkan dalam skuad beregu campuran. Saya rasa dia tidak ada masalah dari segi pengawalan gelanggang.

“Mungkin dari segi pemahaman asas acara ini Kian Meng belum cukup mahir tetapi saya yakin dalam tempoh dua atau tiga bulan, dia mampu membiasakan diri,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");