Membawang Hari Ini

Komplot Ceretek pertaruh teater Velvet

KOMPLOT Ceretek merupakan satu pertubuhan teater yang sedang meningkat naik dan mencipta nama sebagai kumpulan teater yang mementaskan teater moden secara aktif di Kuala lumpur dan Selangor.

Terbaru, produksi ini bakal mementaskan sebuah teater moden yang berjudul Velvet bermula 22 hingga 26 April ini bertempat di Damandara Performing Art Center (DPAC).

Pengarahnya, Khairul Amin berkata, pementasan tersebut turut mendapat kerjasama daripada JKKN dan Kaki Seni.

Selain pengarah, Khairul Amin turut menggalas tanggungjawab sebagai penulis skrip bagi teater ini.

Menurutnya, karya tersebut mempunyai mesej yang berguna untuk disampaikan kepada penonton khususnya generasi kini.

“Karya ini dipilih kerana ia membawa mesej pembebasan diri, cinta dan kebangkitan seorang wanita dalam mempertahankan dirinya yang dipergunakan oleh orang sekeliling.

“Cerita ini membawa kita melihat situasi sebenar kehidupan manusia yang ditindas dan menindas,” katanya berbangga kerana skrip Velvet telah mendapat penghargaan dan kepercayaan oleh JKKN dan Kaki Seni untuk di pentaskan kepada umum.

Mengulas lanjut, Velvet turut mengupas mengenai sebuah perjuangan hidup, penantian, keterdesakan, pengorbanan, kekeluargaan, persahabatan dan pengkhianatan.

“Mungkin banyak yang hendak disampaikan, tetapi saya yakin menerusi plot yang disusun, ia mampu sampai ke jiwa penonton.

“Yang pasti, Velvet punya kekuatan teater moden berbanding karya-karya yang pernah dipentaskan sebelum ini,” katanya.

Velvet akan diterajui pelakon Zahiril Adzim, Keyna Armin, Fazleena Hishamudin, Nazri Ahmad, Yusof Rosli, Shasha Marcela, Dhania Hafizah, Aidilla Shaffi dan Azmi Hud.

Berkongsi mengenai pemilihan Zahiril, akui Khairul Amin, bukan kerana populariti sebaliknya, Zahiril memang terkenal dengan bakat teater yang ada dalam diri pelakon itu.

“Dia seorang pelakon teater yang baik. Malah untuk menginterpretasikan sesuatu karakter itu dengan baik bukan masalah besar baginya,” katanya meletak sepenuh kepercayaan kepada semua pelakon terlibat.

Teknik persembahan baru

Selain mempertaruhkan skrip, plot dan pelakon, kata Khairul Amin, dia turut menggunakan teknik persembahan baru menerusi Velvet.

“Saya cuba menggabungkan elemen audio serta kesan khas pencahayaan dan visual yang dapat menarik minat penonton.

“Dengan cara ini mereka akan lebih memberikan perhatian dan siapa tahu penonton-penonton yang baru pertama kali menyaksikan pementasan teater akan terbuka hati mereka untuk terus menontonnya lagi,” katanya.

Dalam pada itu, dia berharap dapat mengetengahkan nama-nama baru dalam dunia teater dengan memperkenalkan barisan pelakon Velvet kepada penonton.

Sedikit mengenai Velvet, ia mengambil latar belakang sebuah kelab malam sebagai simbolik dunia kini.

Kelab Velvet mengharungi saat-saat gentingnya apabila ia sudah tidak lagi menghasilkan keuntungan kepada pemiliknya.

Sehinggakan mereka yang berada di kelab itu sanggup berbuat apa sahaja di dalam keterdesakan masing-masing, perjuangan masing-masing dan cinta masing-masing.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");