Laporan Eksklusif

Laut China Selatan: Pihak Terlibat Perlu Patuhi DOC

KUALA LUMPUR: Pemimpin Asean bersetuju bahawa pihak terlibat dalam tuntutan wilayah di Laut China Selatan perlu mematuhi Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak (DoC) di Laut China Selatan yang ditandatangani pada 2002 untuk mengekalkan status quo di perairan yang menjadi pertikaian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, pemimpin Asean juga mahu resolusi mengenai Kod Tatalaku (CoC) dirumuskan segera sebagai garis panduan untuk mengelakkan pergeseran atau konflik di kawasan yang menjadi pertikaian.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan Sidang Kemuncak Asean Ke-26 di sini Isnin, beliau berkata, pertikaian di Laut China Selatan patut diselesaikan secara membina dan baik.

Untuk tujuan itu, Perdana Menteri berkata, Asean akan terus berpegang pada prinsipnya iaitu menyelesaikan perselisihan dan pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang yang diiktiraf dunia, khususnya Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS).

“China memahami pendirian kita dan kita harap dapat mempengaruhi China. Juga amat penting bagi mereka (China) untuk tidak dilihat sebagai menentang Asean. Sebarang cubaan untuk menggugat kestabilan ASEAN juga tidak akan memberi faedah kepada China,” katanya.

Tuntutan bertindih terhadap wilayah maritim di Laut China Selatan yang kaya dengan pelbagai sumber melibatkan Brunei, Filipina, Malaysia, Vietnam, China dan Taiwan.

Media antarabangsa melaporkan kerja pembinaan sedang giat dilaksanakan di Laut China Selatan di kawasan yang kedaulatannya menjadi pertikaian antara enam pihak itu.

Antara lain, laporan itu menyatakan menurut imej terbaru menerusi satelit, China sedang giat membina landasan terbang sesuai untuk kegunaan tentera di wilayah yang menjadi pertikaian itu.

Najib berkata, Asean akan meneruskan pendekatan tiada konfrontasi dalam mengendalikan isu itu, yang selama ini efektif dalam memastikan tidak timbul ketegangan di rantau itu.

“Kami akan mengendalikan pertikaian kami secara membina dan bermakna. Kami akan meneruskan pendekatan ini tetapi apabila membabitkan prinsip, kami berpegang teguh dengannya,” katanya.

Mengenai penangguhan cadangan bagi zon waktu seragam di semua ibu negara Asean, Najib berkata, pemimpin berpendapat perkara itu perlu dibincangkan lebih lanjut.

Beliau berkata, ada negara yang menyokong penuh cadangan itu manakala ada negara yang mahu membincangkannya lebih lanjut atas sebab “beberapa pertimbangan domestik.

“Jadi cadangan ini akan terus dibincangkan, kami berharap untuk mencapai konsensus apabila kami bermesyuarat pada November (Sidang Kemuncak Asean ke-27),” katanya.

Pada Februari tahun ini, Presiden Indonesia Joko Widodo semasa melakukan lawatan negara tiga hari di Malaysia menyatakan hasrat untuk mengadakan perbincangan tentang cadangan zon waktu seragam di peringkat pertubuhan serantau itu secepat mungkin.

Bulan lepas, Najib memaklumkan cadangan itu kepada Presiden Myanmar U Thein Sein dalam pertemuan mereka di Putrajaya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");