Sukan Hari Ini

Lee Chong Wei pentingkan semangat berpasukan

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengutamakan semangat berpasukan daripada mengintai sasaran pingat sekiranya dapat beraksi dalam acara berpasukan pada temasya Sukan Sea Singapura, Jun ini.

Andainya kes doping yang dihadapinya memihak kepada pemain itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan menyenaraikannya dalam acara berpasukan.

“(Menang pingat) itu tidak penting bagi saya. Apa yang penting semangat sepasukan perlu kuat khususnya dalam acara berpasukan.

Jika saya boleh bermain, mungkin saya dapat bantu meningkatkan semangat rakan-rakan saya,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran penjualan telefon pintar Samsung di sini, semalam.

Chong Wei, 33, berkata jika keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membolehkan beliau turun semula ke gelanggang, beliau perlu menyertai banyak kejohanan untuk mengumpul mata ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Chong Wei, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing (2008) dan London (2012), digantung sementara BWF selepas didapati menggunakan bahan terlarang ‘dexamethasone’ pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu.

BWF dijangka mengumumkan keputusan kes doping pemain itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, beliau perlu mendapat rentak permainan selepas digantung November lalu sehingga menyebabkan status sebagai pemain nombor satu dunia terlepas dan kini menjunam tangga ke-30.

Tambahnya, jika keputusan BWF memihak dirinya, maka beliau akan menyertai minimum tiga kejohanan utama sebelum menghadapi Kejohanan Dunia di Jakarta, 10 hingga 16 Ogos ini.

“Mulai bulan depan, saya perlu beri tumpuan kepada kejohanan menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik. Bagaimanapun Sukan Sea tidak termasuk dalam senarai ini,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");