Jenayah

Lemas dalam kolam hotel

KUANTAN – Kegembiraan sekumpulan murid sebuah sekolah di sini menyambut hari jadi rakan bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas setelah terjatuh ke dalam kolam sebuah hotel di sini, petang kelmarin.

Kejadian menimpa Lai Jin Shein, 11 kira-kira jam 4.30 petang itu disedari rakan-rakan selepas mereka ternampak mangsa berada di dalam kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa dikeluarkan dari kolam oleh ahli keluarga sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia kira-kira setengah jam kemudian.

Menurutnya, difahamkan mangsa bersama rakan sekolah ke hotel tersebut untuk meraikan hari jadi salah seorang rakan yang diadakan di kawasan terbuka di tepi kolam tersebut.

“Mangsa dipercayai bermain di tepi kolam sebelum terjatuh dan lemas tanpa disedari rakan-rakan lain.

“Kejadian hanya disedari setelah mereka nampak mangsa tidak sedarkan diri di dalam kolam sebelum dikeluarkan dan dihantar keluarga ke hospital,” katanya.

Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan cedera pada tubuh mangsa bagaimanapun bedah siasat dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian murid darjah lima itu.

“Bapa mangsa yang bertugas sebagai penyelia sebuah syarikat pengangkutan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian di Balai Polis Kuantan.

“Kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada rakan mangsa yang hanya dikenali sebagai Tan berkata, dia memilih kawasan tepi kolam hotel berkenaan untuk meraikan ulang tahun kelahiran anaknya yang ke 11.

“Mangsa bersama rakan-rakan lain pada mulanya menikmati hidangan yang disediakan bagaimanapun tanpa pengetahuan kami dia beredar dipercayai ke arah kolam.

“Tidak lama kemudian kami nampak ada ‘budak’ berada dalam kolam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bila kami dekati, rupa-rupanya dia yang lemas,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");