Jenayah

Mayat mungkin suspek

SABAK BERNAM – Polis tidak menolak kemungkinan mayat yang ditemui dalam pukat udang oleh seorang penduduk di perairan Sungai Lang, di sini, petang kelmarin milik salah seorang Pendatang Tanpa Izin (Pati) yang bertindak terjun ke laut ketika dikejar Agensi Penguatkuasa Maritim, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, warga asing terbabit dipercayai bersama empat lagi rakannya dipercayai terjun ke laut selepas memecut laju sebuah bot yang dikejar Maritim di 36 batu nautika dari Pulau Pangkor menuju ke perairan Indonesia berdekatan Muara Sungai Bernam.

Bagaimanapun, katanya, polis sehingga kini masih menyiasat kes itu sama ada mayat yang ditemui itu mempunyai kaitan dengan kes seorang tekong dan tiga awak-awak yang dipercayai terjun ke laut meninggalkan semua Pati ke dalam bot berkenaan.

“Sehingga kini, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh daripada pelbagai sudut termasuk mayat yang ditemui itu mempunyai kaitan dengan kes yang dilaporkan Maritim sebelum ini,” katanya.

Nor Azmi berkata, mayat itu ditemui seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun ketika memukat udang bersama rakan-rakannya berhampiran Jeti Kampung Sungai Lang, kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Tambahnya, berdasarkan keadaan mayat yang memakai baju-T dan berseluar dalam itu, polis percaya, mayat lelaki berkenaan mati dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditemui penduduk terbabit.

“Penduduk dan rakannya itu membawa mayat tersebut menaiki sebuah sampan sebelum menghubungi polis untuk tindakan dan siasatan lanjut. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat,” katanya sambil memberitahu, berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan fizikal pada anggota badan mangsa.

Katanya, polis juga meminta mereka yang mengetahui maklumat tentang perkara itu diminta membuat laporan di Balai Polis Sungai Air Tawar atau hubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 0332242222 bagi bantu siasatan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");