Jenayah

Meluru dukung ibu

Segamat: “Mujur nyawa kami masih panjang kerana berlaku letupan kuat sejurus berjaya keluar,” kata pekerja sebuah kilang membuat alat ganti kenderaan yang terbakar di Kawasan Perindustrian Jalan Genuang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi, Chong Zi Yang, 27, bernasib baik tersedar dari tidur dan segera mengejutkan ibu bapanya yang masing-masing berumur 60-an apabila menyedari premis berkenaan terbakar.

Menurut Chong, ketika kejadian, dia dan keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas bangunan kedai dua tingkat itu dan dia tersedar apabila sesak nafas akibat terhidu bau plastik terbakar.

“Sebaik terjaga, saya terhidu bau plastik terbakar dan terasa bahang menyebabkan saya yakin ia berpunca daripada kebakaran. Saya berlari ke bilik tidur ibu dan ayah dan mengejutkan mereka untuk menyelamatkan diri.

“Saya terpaksa mendukung ibu menuruni tangga kerana dia tidak berapa sihat selain mahu bergegas keluar dari bangunan yang terdapat banyak bahan mudah terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, sebaik dia berjaya keluar dari bangunan berkenaan, terdengar satu letupan yang kuat dari dalam dipercayai berpunca akibat tong gas alatan kimpalan meletup.

“Jika kami lambat beberapa saat, ceritanya pasti akan berlainan kerana letupan itu kedengaran agak kuat disertai api yang begitu besar.

“Namun, syukur kami selamat. Walaupun tidak dapat menyelamatkan harta benda, sekurang-kurangnya kami masih bernyawa,” katanya yang tinggal di bilik disediakan majikannya di bahagian atas bangunan itu sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Putra IOI Aizat Mamat berkata, kejadian itu turut mengakibatkan sebuah bengkel kenderaan bersebelahan musnah dijilat api.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.11 pagi dan mengerahkan tiga jentera bersama 22 anggota termasuk dari BBP Jalan Abdullah dan Labis ke lokasi kejadian sebelum tiba kira-kira 10 minit kemudian.

“Pelbagai bahan mudah terbakar termasuk bahan kimia ada di dalam bangunan itu menyebabkan api merebak dengan cepat dan berlaku beberapa letupan.

“Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan serta tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");