Jenayah

Meninggal lepas koma 4 hari

Ipoh: Selepas empat hari bertarung nyawa dan koma akibat pendarahan otak, seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang dijaga pengasuh, akhirnya menghembuskan nafas terakhir malam kelmarin selepas menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, Rabu lalu.

Difahamkan, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan pihak hospital, bayi itu didapati mengalami kecederaan retak tempurung kepala dan pendarahan pada otak bahagian kiri hingga mengakibatkannya koma serta mengalami kekejangan atau sawan.

Ibu mangsa, Siti Norazila Onn, 32, berkata, anaknya Izz Harith Hafizi Muhammad Izzat Emir, dijaga oleh seorang pengasuh wanita berusia 26 tahun di pangsapuri kediaman anggota di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, dekat sini, sejak kira-kira tiga bulan lalu kerana suaminya, Leftenan Muhammad Izzat Emir Md Rahim, 30, berkhidmat di TLDM Lumut.

Menurutnya, kejadian berlaku pada Rabu lalu kira-kira jam 4.30 petang apabila dia menerima panggilan telefon daripada pengasuh terbabit yang memberitahu anaknya dihantar ke Hospital Lumut kerana mengalami sawan.

“Pengasuh terbabit mendakwa dia menghantar anak bongsu saya ke hospital dengan bantuan jiran selepas didapati mengalami sawan dan saya bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anak.

“Bagaimanapun, keadaan anak semakin teruk dan terpaksa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut dan pemeriksaan doktor di hospital berkenaan mendapati terdapat retakan pada tempurung kepala anak di bahagian belakang kepala selain berlaku pendarahan pada otak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, di sini, semalam.

Siti Norazila yang bekerja sebagai kerani bank berkata, pengasuh terbabit mendakwa anaknya mengalami kecederaan akibat ditarik oleh anak sulungnya iaitu Izz Rayyan Hakimi, 18 bulan, yang turut dijaga oleh pengasuh terbabit dari tilam hingga menyebabkan bayi itu terjatuh ke lantai.

“Pihak hospital bagaimanapun membuat laporan polis kerana keterangan pengasuh berkenaan bercanggah dengan kesan kecederaan yang dialami anak saya yang dipercayai berpunca daripada hentakan kuat akibat terjatuh dari tempat tinggi serta mengalami gegaran otak disyaki akibat goncangan kuat.

“Bagaimanapun, sebelum saya membuat laporan polis, pengasuh terbabit terlebih dulu membuat laporan mengatakan anak saya mengalami sawan selepas terjatuh tanpa berbincang dengan kami,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu dirawat sehingga kira-kira jam 10.30 malam di hospital berkenaan sebelum terpaksa dipindahkan dengan menggunakan helikopter ke HRPB kerana keadaannya semakin kritikal dan sejam kemudian sebaik tiba pihak HRPB terus menjalankan pembedahan bagi menghentikan pendarahan pada otak.

“Keadaan Izz Harith semakin teruk dengan jantungnya beberapa kali terhenti dan terpaksa bergantung pada mesin bantuan pernafasan dengan doktor turut memaklumkan harapannya untuk hidup adalah tipis.

“Pada jam 11.50 malam tadi (kelmarin), Izz Harith menghembuskan nafas terakhir dan kami reda dengan apa yang berlaku, namun dinasihatkan oleh pihak hospital agar membuat laporan polis mengenainya,” katanya yang membuat laporan polis di Pondok Polis HRPB, semalam.

Menurutnya, dia dan suami juga dinasihatkan agar menghantar anak sulung mereka untuk menjalani pemeriksaan sama ada mengalami seberang kesan kecederaan atau sebagainya, namun berdasarkan pemerhatiannya tiada sebarang kecederaan pada anak terbabit.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");