Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed sudah meminta agensi tersebut untuk memantau sebarang isu yang timbul supaya tidak berlaku gangguan terhadap perniagaan dalam kalangan pelabur dan syarikat.

Katanya, terdapat juga syarikat-syarikat yang telah mengutarakan beberapa isu berbangkit yang kebanyakannya melibatkan masalah teknikal dan perkara tersebut telah dibawa untuk pengetahuan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini, kementerian dan agensi yang terlibat mengambil perhatian terhadap perkara berbangkit dan cuba menyelesaikan isu-isu teknikal ini.

“Terdapat kira-kira 160 negara yang telah melaksanakan GST dan kebanyakan pelabur kita datang dari negara maju yang sudah biasa dengan GST. Oleh itu, pelaksanaan GST bukannya satu isu besar kepada mereka. Isu yang timbul hanya bagaimana cukai itu dilaksanakan.” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MIDA dan Panasonic Eco Solutions Malaysia Sdn. Bhd. (PESMY) di sini hari ini.

GST atau lebih dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT) telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara di seluruh dunia termasuk tujuh negara ASEAN.

Setiap negara juga mengenakan cukai berbeza mengikut kemampuan negara terlibat, malah ada yang lebih tinggi daripada Malaysia.

Dalam kelompok negara ASEAN, selain Malaysia, hanya Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkan GST.

Sebelum ini, Penasihat Jabatan Hal Ehwal Fiskal Tabung Kewang­an Antarabangsa (IMF), Kiyoshi Nakayama pada Persidangan Antarabangsa GST 2014 berkata, pelaksanaan sistem cukai itu dapat membantu Malaysia menyediakan ruang pertumbuhan fiskal untuk menghadapi tempoh mencabar pada masa depan.