Sukan Hari Ini

Milik Sazali, Nicol?

KUALA LUMPUR – Siapa Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2014 bakal terjawab malam ini, dan antara calon pilihan adalah nama besar seperti Datuk Lee Chong Wei, Mohd. Azizulhasni Awang, Sazali Samad, Datuk Nicol David, Nur Suryani Taibi dan Tan Li Lian.

Kejutan tidak mustahil tercipta sekali pun tumpuan pasti terarah kepada pemenang atlet yang sudah beberapa kali memenangi Anugerah Sukan Negara seperti Chong Wei, Sazali, Azizulhasni dan Nicol.

Penanda aras tertinggi kebanyakannya ialah pencapaian dalam Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Incheon, ma­sing-masing pada Julai dan September tahun lalu.

Namun, beberapa kejohanan utama antarabangsa, tidak wajar diabaikan untuk mencari pemilik gelaran, trofi, blazer dan wang tunai RM20,000 ini.

Gara-gara gelaran naib juara Kejohanan Dunia milik Chong Wei dibatalkan akibat penggantungan lapan bulan atas kesalahan doping, peluang kini lebih terbuka kepada Sazali, yang merangkul kejuaraan Mr. Universe kali ke-10 dalam Kejohanan Dunia di Mumbai, Disember lalu.

Chong Wei hanya memenangi dua gangsa individu dan berpasukan di Incheon manakala ­‘Pocketrocketman’, Azizulhasni hanya bersandarkan sebutir gangsa di Glasgow dalam acara keirin.

Gelaran Terbuka Dunia di Kaherah, dua emas Incheon dan sebutir emas di Glasgow, milik Nicol pula terlalu sukar ditan­dingi calon lain Olahragawati Kebangsaan, sekali pun Nur Suryani dan Li Lian mungkin mampu mencipta kejutan.

Sebutir perak dan sebutir gangsa 50 meter raifal prone individu dan berpasukan dipertaruhkan Nur Suryani, manakala Li Lian bermodalkan gelaran Miss Universe kategori 55 kilogram Kejohanan Bina Badan Dunia di Mumbai.

Sebagai rekod, Chong Wei sudah bergelar Olahragawan Kebangsaan empat kali pada 2005, 2008, 2011 dan 2012; Sazali juga memenanginya pada 2000, 2006 dan 2013 sementara Azizul menggondolnya dua tahun berturut-turut, 2009 dan 2010.

Jika menang lagi, Nicol akan terus melebarkan rekod kejayaannya selaku Olahragawati Kebangsaan terbanyak, 10 kali selepas 1999, 2003, 2005, 2006, 2007, 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Turut bersaing bagi Olahragawan Kebangsaan ialah Hafifi Mansor (angkat berat), Lim Chee Wei (karate), Ezuan Nasir Khan (menembak), Khairulnizam Afendy (pelayaran), Mohd. Al-Jufferi Jamari (pencak silat), Fairus Jabal (boling padang), Ong Beng Hee (skuasy), Ooi Tze Liang (akuatik) dan Rafiq Ismail (boling).

Calon lain Olahragawati ialah Syakilla Saini Jefri (karate), Siti Rahmah Mohamed Nasir (pencak silat), Siti Zalina Ahmad (boling padang), Cheong Jun Hoong (akuatik) dan Sin Li Jane (boling) serta Cheong Jun Hoong (akuatik).

Turut dipertandingkan Anugerah Pasukan dan Jurulatih Kebangsaan, Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik, Anugerah Khas Sukan, Kepemimpinan Sukan dan Tokoh Sukan.

Majlis akan dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. – http://www.utusan.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");