Jenayah

Oli sering bercakap seorang diri, berhalusinasi

JOHOR BAHRU – Anggota keluarga suspek kes tikam menyebabkan kematian seorang pegawai bank HSBC Taman Molek, di sini, kelmarin, mengakui lelaki itu mengalami masalah halusinasi dan kerap bercakap seorang sendiri sejak kebelakangan ini.

Abang suspek yang enggan namanya disebut berkata, lelaki berumur 44 tahun yang dipanggil Oli dalam kalangan ahli keluarganya itu sempat menghubungi kediaman mereka kira-kira setengah jam sebelum insiden yang menyebabkan kematian pegawai bank dan mencederakan seorang yang lain.

“Oli ada menelefon rumah untuk bercakap dengan anak saudara lelakinya (yang berumur tiga tahun), tetapi budak itu sedang tidur.

“Lepas itu dia telefon lagi, tapi (talian) terputus,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka, semalam.

Abang suspek berkata, dia mengambil keputusan untuk pergi ke tempat kerja Oli bersama ibu mereka selepas berasa tidak sedap hati dan berasa pelik dengan sikap suspek sebelum dikejutkan dengan insiden terbabit.

Sebelum pergi kerja, Oli juga sempat menyerahkan wang kepada abangnya untuk diserahkan kepada ibu mereka bagi membayar sewa rumah.

Suspek, anak kelima dalam enam beradik itu, masih bujang.

Dia dikatakan mengalami ‘gangguan’ sejak beberapa tahun lalu dan keluarga lelaki itu masih berikhtiar untuk mengubatinya.

“Kami juga ada merancang untuk membawa Oli pergi berubat minggu ini,” katanya.

Menurutnya, Oli suka menyendiri dan orang yang ingin bercakap dengannya perlu berhemah serta tidak bersikap kasar (kerana ia boleh mempengaruhi responsnya).

Sementara itu, bapa suspek yang berusia 80 tahun berkata, dalam tempoh seminggu Oli tidak membenarkan keluarga masuk ke biliknya dengan mengunci pintu.

“Jika Oli bercakap sorang sorang, kami tak ganggu dia. Malam sebelum kejadian, kami dengar dia ketuk sesuatu benda di dalam biliknya,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");